Saya dihadiahkan sebuah buku sebelum berhenti kerja di kedai Cik Nab. Falsafah Hidup tulisan Buya Hamka. Membaca beberapa baris sahaja daripada buku ini membuatkan saya segera memuji Tuhan. Benarlah hikmah itu diminta dan dicari. Barulah kemudian ia diberi. Hak Allah mahu menunjukkan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Buah fikiran Hamka ialah falsafah yang mahal. Di dalam buku ini beliau bersuara sebagai ahli falsafah yang berpasak dan berakar.

Bukanlah Yang Ada itu tidak ada. Melainkan merekalah yang tidak bertemu, atau mengelak jika telah bertemu. Kerana kurang berani atau kerana fikiran tidak merdeka. Kerana diikat oleh yang telah terbiasa. Walaupun golongan ini kadang-kadang menamakan dirinya golongan yang berfikiran merdeka . (Hamka, 1940)
Apakah falsafah dan siapa pula ahli falsafah?
Menurut rekod, manusia mula mengenal falsafah ketika zaman Yunani lagi. Falsafah merujuk kepada perkataan filsafat, filsafah atau pilosofie. Pilos bermaksud penggemar dan sofie (daripada kata sofos) bermaksud hikmah atau ilmu. Hikmah pula boleh dipanjang ertinya sebagainya rahsia.
Falsafah berkembang dengan kebangkitan tamadun demi tamadun. Seperti lelabah yang mengayam sarangnya, falsafah berkait dan berhubung. Tetapi mungkin kerana terlalu lama, manusia tenggelam dan timbul antara yang gelap dengan yang terang, maka fikiran mereka jadi keliru. Sehingga kemuncaknya materialism mencadangkan bahawa agama hanya dogma yang menghalang pembangunan manusia. Natijahnya hari ini kita mendengar tentang atheism, scientology dan sebagainya.
Asalnya semua manusia berfikir. Siapakah kita? Ke mana sesudah mati? Apakah cinta? Bagaimanakah air dicipta? Mengapa perlu hidup? Dan bermacam lagi. Kemudian manusia terbahagi kepada dua kumpulan; yang endah(terkesan dan terus mahu berfikir) dan yang tidak mengendahkan(bosan dan tiada rasa kepentingan untuk terus berfikir). Golongan yang endah adalah calon-calon ahli falsafah, mereka mahu menembusi rahsia-rahsia besar kehidupan. Namun akhirnya hanya sedikit yang menjadi filsuf.
Islam agama yang memimpin falsafah supaya pemikirnya tidak terbang telalu jauh hingga putus tali kesedarannya atau berenang tanpa pedoman sehingga akhirnya lemas dalam gelap pemikiran yang tidak boleh disuluh lagi. Untuk mencari hikmah, muslim dianjurkan supaya berfikir. Itulah kunci mencari rahsia. Kunci menjadi bijaksana. Kata Buya Hamka, orang yang membaca Al Quran dengan penuh minat dan orang yang membersihkan jiwanya dengan kebenaran, secara tidak langsung akan berjalan menuju falsafah. Di sini adalah salah satu daripada beratus ayat AlQuran yang menyuruh manusia berfikir dan mencari falsafah kejadian.
Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta, bagaimana ia diciptakan. Dan langit, bagaimana ia ditinggikan. Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi, bagaimana ia dihamparkan? (Al Ghasyiah 88:17-20)
Saya selalu mengaitkan falsafah dengan ‘common sense’. Kerana fikir saya asalnya keelokan itu adalah fitrah yang terfikirkan oleh semua orang. Kebaikan itu logik. Tetapi ada yang mengatakan pula bahawa ‘common sense is something that is not common’. Kebiasaan yang menjadi luar biasa. Mengapa jadi begitu? Mudah, kerana ramai yang mengambil enteng atau tidak mahu ambil tahu tentang perkara remeh. Batu bata biasa menjadi luar biasa kepentinggannya untuk membina tembok besar China. Atau boleh jadi juga, terlalu membesarkan perkara remeh sehingga terabai perkara yang lebih besar. Seperti menyalahkan takdir sedangkan takdir ‘pahit’ itu adalah laluan ke syurga. Tidakkah kesakitan itu terlalu remeh jika dibandingkan dengan kesenangan di syurga?
Kerana hanya sedikit daripada pemikir yang menjadi filsuf, maka besarlah peranan filsuf meletakkan nama dan fungsi keelokan yang terfikir oleh ramai manusia. Analoginya, keelokan-keelokan itu seperti percik warna di atas kain putih. Abstrak yang terhasil kelihatan sangat harmoni tetapi mahu dipanggil apa? Lalu filsuf memberi garisan sebagai batas bagi menyerlahkan bentuk,juga menambah catan supaya lakaran boleh diberi nama. Bulatkah atau segikah. Abstrak yang diobjekkan ini seterusnya diberi fungsi. Kalau bulat bergoleklah, kalau segi berdirilah.
Tengok sikit muka orang yang baca entri ni, berkerut sampai bercantum kening tu..Haha.. mesti dah penig kepala..
Mudahnya macam nilah.. Memberi nama di sini bermaksud memaknakan keelokan itu agar kelihatan lebih jelas. Meletakkan fungsi pula bererti meletakkan kesesuaian bagi keelokan itu dan syarat-syarat untuk mengesankan. Mahu menolong orang tu contoh keelokan (macam percik warna atas kain putih tadi). Semua orang ada logik atau fitrah ini. Filsuf letak nama pada keelokan ini. Contohnya- ‘memberi keadilan’. Kemudian filsuf letak pula syarat-syarat ‘memberi keadilan’. Jalannya mesti betul, tak boleh macam Robin Hood, nak tolong orang susah tapi mencuri. Kemudian filsuf ajar pula untuk cara untuk mengesankan, perlulah diniatkan kerana Allah. Barulah memberi keadilan tu nanti memberi pahala buat yang melaksankan. Jelaskan?
Falsafah yang benar akan menghidupkan, membawa kita makin hampir dengan hakikat kehambaan yang mana itulah juga hakikat kebebasan dan kemerdekaan. Hanya satu sumber falsafah yang benar- akidah Islamiah. Kita nanti bisa melihat indah keelokan penciptaan atau keelokan akhlak itu bersandar pada keesaan Tuhan yang mesti hanya satu. Tidak ada yang pincang di dalam susun atur kejadian atau takdir ketetapan. Semuanya punya alasan dan kebijaksanaan Tuhan. Itulah rahsia yang yang kita disuruh fikirkan.
Sementelah falsafah yang salah hanya manjadi momok kepada manusia, membutakan mata dan menulikan telinga daripada kebenaran yang sangat jelas lagi luas terbentang. Seperti manusia yang terperangkap di atas sawang labah-labah. Takut dan terpenjara. Tiada akar tiada tunas. Di tengah-tengah tidak ke mana-mana. Kerana mereka menolak campurtangan Tuhan. Lalu mereka mencipta ideologi syaitan, menghukum memandai-mandai. Meneka entah apa-apa. Lupa bahawa nanti di hari kebangkitan, syaitan bakal berlepas tangan.
Hm.. kalau mahu berbicara tentang falsafah, digunakan seluruh masa hidup pun tidak akan cukup. Kata Buya Hamka, falsafah itu luas, seluas fikiran sejak manusia pandai berfikir. Saya mahu menambah sedikit, falsafah itu bahkan seluas kejadian semesta dan setua hayat alam dijadikan. Saya suka sekali menghadam Falsafah Hidup di waktu lengang. Lebih mengesankan apabila duduk sendiri dibawah pokok asam menghadap tasik buatan sebelah surau. Tenangnya seperti mendengar sendiri Buya Hamka berbicara.
Allah menganugerahkan Hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah itu, dia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. dan hanya orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah). (Al Baqarah 2: 269)
Kerana menghadiahkan kitab hikmah ini kepada saya, terima kasih Nik!
Senyum Sapa Salam