You are currently browsing the monthly archive for Januari 2010.
Saya melakar peta minda tentang Abu Bakar As-Sidiq RA buat perbentangan semasa usrah. Tokoh yang sudah diulang-ulang dengar sejak saya tadika lagi. Setiap kali pengulangan, saya pastikan saya mendapat kefahaman yang lebih dari sebelumnya. Begitulah namanya usrah, untuk memberi dan menambah faham, bukan sekadar memberitahu. Ada beberapa perkara tentang Abu Bakar yang terang di kepala saya kali ini, Alhamdulillah.
Menurut Ibn Ishaq di dalam kitabnya Sirah al Kubra, Abu Bakar merupakan seoang yang rapat, disayangi, mudah berurusan dengan kaumnya. Beliau berketurunan paling mulia, paling arif tentang salasilah Quraisy dan merupakan peniaga berakhlak lagi terkenal.
Sungguh takjub apabila membayangkan Abu Bakar dan kekayaannya. Seluruh hartanya habis diserah di jalan Allah. Betapa ramai muslim yang kaya melalui perniagaan hari ini. Di Malaysia sahaja cukuplah. tetapi masih ramai juga muslim yang miskin. Seolah-olah menjadi trend muslim kaya hari ini, diberi kekayaan lebih sedikit, kereta bertambah-tambah di garaj, pakaian pula yang molek-molek dari butik mahal. Alasannya mudah, kerana kami mampu, jadi bukanlah perbuatan yang membazir. Di mana kelebihan sebuah BMW dengan sebuah Saga, bila kedua-duanya boleh meruangkan maksimum enam penumpang sahaja? Menjadi kaya impian semua orang, dengan alasan untuk hidup selesa dan boleh membantu orang ( alasan sebelum kaya, selepas kaya ke manalah pergi azam tadi..) Masalahnya, apabila kekayaan itu tidak dilihat sebagai satu bentuk ujian. Sebaliknya manusia memandangya sebagai satu bentuk nikmat yang menyenangkan, lalu akhirnya jadilah nikmat itu suatu melalaikan. Mengapa ya jadi begitu? Pendapat saya mudah sahaja. Kerana ramainya muslim yang kaya hari ini berbuat silap dengan membuka akaun di dalam hati mereka. Tidak cukup dengan duit yang berkepuk-kepuk di bank, simpan sebahagian lagi di dalam hati. Itulah akar masalah. Bukankah sudah jelas diajarkan bahawa di hati itu tempat duduknya nafsu, jadi mengapa masih mahu menyimpan harta di situ. Sifat nafsu itu, sangat suka menerima tetapi akan terlalu berat apabila mahu memberi. Belajar dari orang kaya Abu Bakar as-Siddiq, harta itu letakkan di tangan sahaja, jangan buka hatta peti simpanan kecil pun di dalam hati. Nanti bila perlu memberi, kita mudah melepaskan harta pergi, bukan menahan-nahan hingga sudahnya tidak boleh di bawa mati. Jangan fikir dua kali untuk memberi. Ringankanlah apa yang dipinjamkan, kerana kita bukan pemilik semua itu. Lebih menakutkan dengan hakikat bahawa sebenarnya, nikmat harta yang dilambak kepada kita rupanya ada hak dari manusia ramai dan kita gagal menyampikan hak-hak mereka.
Abu Bakar juga merupakan seorang yang berilmu, baik tingkah laku dan mesra. Dengan kelebihan itulah beliau menanam kepercayaan masyarakat padanya. Natijah yang baik, Islamlah di tangannya Uthman bin Affan, Talah bin Ubaidillah, Zubair Al-Awwam dan Abdul Rahman-Al-Auf. Saya kira itulah pakej terbaik yang wajib ada pada seorang dai’e. Dai’e itu mesti mempunyai ilmu yang benar, supaya apa yang disampaikan berpasak dan tidak menyesatkan. Seorang dai’e mesti juga berahlak mulia sebagai bukti praktikal dari teori ilmu yang benar pada awalnya. Haruslah begitu. Adilkah apabila seorang dai’e itu sibuk menyuruh orang berbuat baik, tetapi dia tidak memulakannya dahulu? Terkahir, mesra. Sikap mesra menjadi pelengkap kepada berilmu dan berakhlak. Dai’e yang cukup ilmunya, molek akhlaknya, tidak tidak ‘mesra mad’u’ boleh diibaratkan seperti seorang yang mempunyai sangat banyak wang di bank dan baik hati mahu menolong orang, tetapi tidak memiliki buku cek. Dia tidak mempunyai saluran untuk menyalurkan kebikan. Ruginya. Mendekati manusia memerlukan pendekatan psikologi yang tepat. Senaraikan apa sahaja jenis manusia di dunia ini,sekiranya seorang dai’e itu mesra dan pandai membawa diri mengikut rentak mad’u, insyaAllah ramai yang akan makin hampir dengan Islam.
Saya senaraikan lapan kelebihan utama Abu Bakar di dalam peta minda. Yang paling saya suka ialah hebatnya tawakal Abu Bakar dengan Allah. Berlindung penuh dengan Allah. Saya kongsikan petikan di sini,
Al Bukhari meriwayatkan tentang Abu Bakar as-Siddiq daripada Aisyah RA, kata beliau, “ Saya sama sekali tidak terfikir bahawa ibu bapa saya menganut dua agama (yang berbeza). Setiap hari
Rasulullah SAW pasti datang ke rumah kami, pada waktu pagi dan petang.
Tatkala orang-orang Islam di tindas, Abu Bakar keluar untuk berhijrah ke Habsyah. Apabila sampai di Barak al-Ghamad beliau bertemu dengan Ibnu ad-Daghannah, ketua kabilah al-Qarah. Dia bertanya kepada Abu Bakar, “ Kamu mahu ke mana wahai Abu Bakar?” Jawab Abu Bakar, “ Kaumku menghalau aku. Maka aku ingin merantau untuk menyembah Tuhanku.” Maka jawab Ibnu ad-Daghannah, “ Sesungguhnya orang sepertimu tidak sepatutnya keluar dan dikeluarkan. Kamu membantu kewangan orang yang memerlukan, menghubungkan silatrrahim, memuliakan tetamu dan membantu pihak yang benar. Saya akan menjadi pelindung dan penjamin kamu. Pulanglah ke Mekah dan sembahlah Tuhanmu di negerimu.”
Lalu Abu Bakar kembali bersama Ibnu ad-Daggannah. Sesampai di Mekah, pagi-pagi lagi Ibnu ad-Daghannah bertemu dengan pembesar Quraisy. Dia berkata, “ Sesungguhnya Abu Bakar tidak akan keluar dari bumi Mekah dan tidak boleh dihalau keluar. Adakah kamu hendak menghalau lelaki yang membantu keangan orang yang memerlukan, menghubungkan silaturrahim, memuliakan tetamu dan membantu pihak yang benar.”
Quraisy tidak menghalang perlindungan Ibnu ad-Daghannah. Kata mereka, “Suruhlah Abu Bakar menyembah Tuhannya di dalam rumahnya. Dia hendaklah bersembahyang di ritu. Bacalah apa ang dia mahu. Kami tidak akan menyakitinya. Tetapi janganlah dia menghebahkan ibadahnya. Kerana kami bimbang anak dan isteri kami akan terpengaruh. Maka Ibnu ad-Daghannah memberitahu Abu Bakar tentang perkara itu.
Untuk beberapa waktu, Abu Bakar menyembah Tuhannya di dalam rumah. Beliau tidak bersembahyang dan membaca Al-quran melainkan di dalam rumahnya. Kemudia Abu Bakar mula membina tempat untuk beribadat di kawasan lapang rumahnya. Beliau bersembahyang dan membaca Al-Quran di situ. Wanita dan kanak-kanak muyrikin Quraisy mula berhimpun melihat perlakuan Abu Bakar. Beliau mudah menangis apabila membaca Al-Quran.
Tindakan Abu Bakar tersebut menggusarkan para pembesar Quraisy. Lalu mereka mengutus wakil bertemu dengan Ibnu ad-Daghannah, kata mereka, “ Sesungguhnya kami akur Abu Bakar di bawah perlindungan kamu. Tetapi dengan syarat dia menyembah Tuhannya di dalam rumah. Namun dia telah melampaui batas itu. Dia membina tempat ibadah di kawasan lapang rumahnya. Dia sembahyang dan membaca Al-Quran secara terang-terangan. Sesungguhnya kami bimbang isteri dan anak-anak kami terpengaruh. Maka hentikanlah perbuatannya. Jika dia suka untuk membataskan menyembah Tuhannya hanya di dalam rumah, lakukanlah. Namun, jika dia enggan dan ingin terus melakukan ibadah terang-terangan, maka mintalah supaya dia memulangkan kembali perlindungan kamu. Sesungguhnya kami tidak suka mencabul perjanjian dengan kamu. Kami juga tidak setuju tindakan Abu Bakar melakukan ibadah terang-terangan.”
Kata Aisyah RA, “Maka Ibnu ad-Daghannah pergi bertemu Abu Bakar dan berkata, “Aku masih ingat perjanjian aku dan kamu. Sama ada kamu melakukan berdasarkan perjanjian itu atau kamu menyerahkan kembali perlindungan yang aku berikan kepadamu. Aku tidak suka orang Arab berkata bahawa aku mencabul perjanjian dengan orang yang mengikat perjanjian denganku.” Lantas Abu Bakar berkata, “ AKU KEMBALIKAN PERLINDUNGANMU DAN AKU LEBIH RELA DENGAN PERLINDUNGAN ALLAH AZZA WAJALLA.”
Meminta pertolongan dari manusia samalah seperti seorang banduan meminta pertolongan dari banduan yang lain agar membebaskannya dari penjara. Dunia ini penjara bagi orang mukmin, di dalamnya terdapat seribu satu kesusahan yang mesti dilalui untuk ke syurga akhirat. Tidaklah manusia itu akan merasai syurga akhirat sekiranya dia tidak melalui satu syurga di dunia (penjara bagi mukmin). meminta pertolongan sesama manusia yang juga lemah adalah sia-sia. Kata bidalan Melayu, Seperti Berdian di Abu Dingin. Maksudnya, cuba memanaskan badan (berdian), tetapi pada abu, bukan di bara api. Sudahlah abu, dingin lagi. Sungguh sia-sia. Apabila berhadapan antara dua perlindungan, pilihlah perlindungan yang lebih kekal. Memintalah dari Allah, dan bergantung penuhlah pula dengan Allah. Ibaratnya, tawakal yang bulat kepada Allah seperti batu besar yang bulat, tidak bersegi-segi lagi. Apabila bergolek batu itu, maka ia akan menghancurkan halangan di kiri kanan jalan. Halangan itu boleh jadi anasir-anasir yang menahan tawakal kita. Apabila ada janji kemenangan dari Allah, maka tidak ada satu kuasa lain pun yang boleh mendatangkan mudarat kepada kita.
Saya ziarah Kak Long di Hopsital Serdang. Ain dan Aqilah datang sekali. Seronok dapat berjumpa semula selepas hampir empat tahun . Maha Suci Allah, milikNya kuasa pertemuan dan perpisahan. Dan seperti biasa, manusia di beri ketetapan atas keperluannya, bukan atas kehendaknya. Mengapa? Mudah, kerana kita tidak menulis takdir sendiri. Pertemuan semula ini juga, saya kira kerana ada keperluannya. Rindu sungguh saya dengan kakak saya yang seorang ini.
Saya lihat Kak Long berat menahan ubat yang masuk ke dalam badan. Itu cycle ke enam, kata Kak Long. Melihatkan keadaan kakak saya yang lemah, dan saya pula tidak boleh menolong apa-apa, membuatkan saya rasa sangat tidak berdaya. Lemahnya saya yang bernama manusia ini. Semasa menunggu Kak Long, datang seorang adik, menghidap SLE juga. Suhaili, pelajar kejuruteraan tahun satu di UPM. Kami sempat berkongsi cerita. Kisah Suhaili, adiknya meninggal semasa berumur 18 tahun, semasa mereka sama-sama bertarung melawan SLE. Sudah janji adik begitu, pujuk saya.
Saya mengulang kata sabar dengan mereka. Mungkin kedengaran mudah untur memberi pesan begitu, sedangkan saya tidak merasai kesakitan mereka. Kak Long dan Suhaili, Allah tidak akan memberatkan kita dengan kesakitan diluar kemampuan kita menanggungnya. Bila diberi uji, bermakna kekuatan untuk menerimanya ada di dalam diri. Janganlah mengaku tewas sebelum usai ujian. Bukankah kalian sudah mengishtihar cinta kepada Allah? Sudah berjanji beriman denganNya? Di situlah letaknya sebab ujian. Benarkah cinta, tapi tak pernah teruji? Benarkah iman, tapi belum didatangkan cubaan? Janji Allah, bersama kesusahan, ada bersamanya jalan kemudahan.
Saya percaya kalian meminta sabar di atas ujian. Kami yang di sekeliling ini juga sangat mendoakan kamu agar di beri kesabaran. Tetapi bagaimana sebenarnya hakikat sabar itu? Sabar tidak lahir bersama dengan lahirnya seorang manusia. Sabar itu tidak diberi dengan di angkat semua kesusahan dan diganti kesenangan. Sabar juga tidak akan datang dalam satu dos suntikan. Sabar itu sifat yang dipupuk. Kita semua meminta sabar, maka Allah datangkan ujian demi ujian lagi, tambah berat, tambah susah. Mengapa? Kerana setiap takah ujianNya yang kita berjaya lepasi, di situlah dos sabar yang kita perolehi. Semakin banyak yang kita lepasi, semakin besar sabar yang kita kumpul. Sehinggalah, pada satu ketika kita tidak terasa beratnya ujian Allah, malah bersama kesakitan itu, lebih dekat kita dengan Allah. Nah, saat itu sudah cukup pakej sabar yang ada pada diri kita. Sudah termakbul doa kita yang meminta-minta supaya diberikan kesabaran.
Terfikir pula tentang Rasulullah SAW, betapa beratnya ujian untuk baginda, dipaksakan kehilangan demi kehilangan, di suakan kesusahan di jalan dakwah, sedangkan baginda itu kecintaan Allah. Rupanya, ujian-ujian itulah yang membentuk kesabaran yang sangat hebat. Sabarnya baginda menjadi kamus rujukan untuk segala bentuk kesusahan kita pada hari ini.
Bersyukurlah dengan ujian, memintalah diberikan kesabaran. Ramainya manusia yang di ‘dera’ di zon selesa, tiada mereka menambah apa-apa dari kehidupan. Melainkan mereka menyangka sangat disayangi Tuhan, sedang nikmat di sekeliling itu hanyalah istidraj yang kelak di akhirat akan sangat menyiksakan.
Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran. (Al-’Asr 103:1-3)
Saya minta diri untuk pulang, Kak Long senyum, saya kira itulah senyuman paling indah yang pernah saya lihat. Menyembunyikan kesusahan di balik manis muka yang dipaksakan. Saya lihat sabarnya di situ. Sabarlah, kerana syurga itu terlalu manis. Kak Long, saya sangat mendoakan!
Kita semua punya cerita sendiri tentang ibu kita. Kita sebahagian dari ibu kita, ibu pula adalah sebahagian daripada rahsia kita. Inilah sedikit cerita saya, tentang bidadari seorang ini. Takkan habis saya kisahkan kebaikannya walaupun saya ulang-ulang saban malam. Dan, kalaulah kamu benar-benar membaca, kamu akan melihat bahawa saya sebenarnya menulis semua ini dengan air mata.
Saya masih ingat, 16 tahun yang lepas, pada tarikh yang sama. Kami tinggal di Serdang, abah masih belajar, dan kami hidup sangat sederhana. Petang itu, abah bonceng saya dan Aiman. Dengan motornya, abah bawa kami ke sebuah kedai kek. Abah pilih sebiji kek paling murah. Icingnya putih semua, ada lima ceri di atas kek buat penghias. Abah minta pekerja di situ tuliskan sesuatu. Saya ingat semuanya, setiap inci peristiwa masa itu terakam sangat kemas dalam kepala. Saya ingat baju yang saya dan Aiman pakai, saya ingat bagaimana abah mengeluarkan duit dari poketnya, abah kira syiling yang ada, dan bila cukup nilainya, abah serah pada juruwang. Saya ingat ‘mood’ ketika itu, bau ketika itu. Saya ingat saya berdiri dekat dengan abah memerhatikan setiap satu yang berlaku di depan mata. Sesudah itu, abah beli sebungkus rojak di tepi jalan dan kami pulang ke rumah. Di rumah, Cik Ayang sibuk menyusun pinggan dan cawan di atas meja makan. Abah pindahkan rojak di dalam bekas ke dalam pinggan yang agak besar, dan kuahnya abah tuangkan ke dalam mangkuk yang besar juga. Rojak di dalam pinggan abah serak-serakkan sampai hampir ke gigi pinggan. Abah kata, bila guna bekas yang besar, yang sikit boleh nampak banyak. Saya tidak faham ketika itu, tapi saya senyum juga. Lepas 6.30 petang emak pulang ke rumah. Terkejut melihat kami semua sudah berkumpul di hadapan meja makan, dengan sebiji kek icing putih di atas meja. Emak letak beg di tepi, dan datang. Emak baca kuat-kuat tulisan pada kek, ‘Selamat Hari Lahir Emak. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki’. Saya yang pertama datang ke kerusi emak, saya salam dan ucap selamat. Emak peluk dan cium pipi kiri saya. Abah sempat rakam kenangan itu. Kemudian adik-adik lain mengikut.
Hari ini pada tarikh yang sama, 19 Januari 2010, usia emak menginjak 51 tahun. Saya amat realistik bahawa usia yang bertambah menghampirkan kita lebih dekat kepada kematian. Saya menghantar pesan ringkas kepada adik-adik supaya memberi ucap selamat kepada emak, melakukan solat sunat dan sedekahkan yasin buat emak. Jangan lagi menambah risau di hati emak, jangan lukakan perasaan emak, begitu pesan saya.
Saya pandang diri saya di cermin. Saya sudah dewasa. Dahulu emak pernah memipin saya yang ketakutan berjalan di gigi pantai. Emak tunduk melihat saya yang tentu sahaja lebih rendah darinya ketika itu. Emak bercerita laut begini dan begitu, siapa yang mencipta laut, dan sebagainya. Hari ini, saya berjalan dengan emak di pinggir laut. Emak pula yang mendongak sedikit memandang saya, dan saya pula yang berkisah rahsia kejadian laut begitu dan begini. Saya sudah dewasa. Adik-adik kakak, lihat, kita semua sudah dewasa, kita punya semangat berkobar-kobar, kita kuat dengan darah muda. Tinggalkan kawan-kawan yang kamu terlalu sayang itu, lihatlah pula pada emak. Emak sudah makin tua, sudah tidak kuat lagi, tidak lagi boleh menganggkat yang berat seperti masa kita kecil semua kecil dahulu. Jangan lagi bebankan kelemahan emak dengan kedegilan kita. Tak tertanggung dia.
Sebenarnya saya gusarkan tentang adik-adik saya yang lelaki terutamanya. Saya pernah lihat emak menangis kerana anaknya, emak sangat susah hati dengan anaknya. Saya? Saya lebih lagi, bukan sahaja berat memikirkan perasaan emak yang sakit, saya kenangkan juga nasib si adik di akhirat nanti. Bila ibu menangis kerana sedih terhadap perbuatan anaknya, dimanalah tempat tinggal akhir adik saya ini nanti? Mungkinkah di syurga yang saya impikan kami sekeluarga berkumpul di dalamnya? Emak menangis, saya lebih lagi tersedu.
Cerita emak, dia pernah bermimipi bulan turun ke ribanya. Dia sangat senang dengan cahaya bulan yang terang dan memberi damai, tidak membakar seperti matahari. Kata emak, maksudnya mimpi itu ialah ilmu sehingga akhir hayat. Saya melihat kesungguhan emak di dalam lafaz cintanya terhadap ilmu. Dan saya, memasang azam untuk meneruskan legasi ilmu emak.
Emak rahmat terbesar buat semua orang yang berada di sekelilingnya. Emak sangat sempurna di mata saya. Sejak saya mula pandai mengenal rasa, kebaikan dan kelembutan emaklah yang paling dalam tertanam dalam diri saya. Benar, saya sedikit memberontak di awal usia belasan tahun. Tumbuh di tengah-tengah lelaki, watak saya dibentuk keras seperti lelaki. Ketegasan abah hanya menambah keras kepala saya. Jadilah saya pada hari ini manusia dengan kemahuannya yang tetap, jangan sesekali mengatakan tidak boleh-saya akan mara lebih lagi, jangan menghalang-kerana saya akan mencabar kembali. Emaklah yang selalu melentur saya kemudiannya. Tegas abah dan hikmah emak menjadikan saya seperti air yang jika ditahan laluannya, akan segera membentuk alur yang baru.
Usia saya 13 tahun dan emak memaksa saya belajar jauh di utara semenanjung. Sangka saya emak membenci kedegilan saya lalu membuang saya jauh-jauh. Rupanya bukan begitu. Di tempat baru, saya melihat kebaikan emak di mana-mana, dan saya jadi rindu. Hikmah Allah, mahu melentur kekerasan saya dengan air mata. Saya jinak dengan buku-buku kemudiannya, saya bawa buku Mutiara Hidup yang emak bekalkan kepada saya ke mana-mana sahaja. Saya dilentur takdir Allah dengan selentur-lenturnya. Rindu pada keluarga dan si kembar yang masih merangkak waktu itu, benci diletakkan di tempat asing, pening dengan karenah manusia-manusia ‘ber-agama’ – semuanya menjadi satu. Baru lewat ini saya memahami tindakan emak. Emak mendidik saya, bahawa kasih sayang itu bukanlah apabila kita selalu bersama. Emak putuskan kebergantungan saya dengan manusia- dia, abah, adik-adik, kawan-kawan baik dan sesiapa juga. Emak tanamkan dalam diri saya tawakal secara langsung dengan Tuhan. Saya jadi makin kendiri. Saat saya rasa sangat susah, saya hubungi emak, menggogoi di telefon. Pujuk emak, carilah kawan yang lebih susah, dengarlah masalah mereka, kongsikan biskut atau kerepek barang sepeket dua. Ah, emak saya kitab psikologi yang berkata-kata. Kerana itulah juga akhirnya saya menjadi penutur falsafah yang memeningkan kepala teman-teman.
“Emak minta maaf.” Itulah kata-kata yang paling saya benci untuk didengar dari mulut emak. Emak minta maaf dengan saya? Sedangkan syurga saya di bawah restu emak. Hati saya pecah, perasaan saya berkecai-kecai apabila emak minta maaf kerana tidak mampu menghantar saya ke Mesir untuk belajar perubatan berapa tahun yang lalu. Saya menyumpah diri sendiri yang sayalah anak yang paling mementingkan diri sendiri. Saya bencikan diri saya setiap kali emak mengulang kata maaf.
Emak bidadari saya. Kecintaan saya. Guru pertama saya. Sahabat sejati saya. Naqibah saya. Murabbiah saya. Kebaikan emak memenuhi setiap halus urat saraf saya. Pesan emak- jangan membenci, maafkan, lepaskan, memberilah, mulakanlah kebaikan, dan banyak lagi. Dan saya melihat emak dan kebaikannya di mana-mana..
Usai mahgrib tadi, saya pohonkan doa untuk emak. Emak sudah banyak berihsan kepada kami adik-beradik, kepada abah dan keluarga abah juga. Saya merayukan untuk emak sungguh-sungguh, supaya Allah berbelas ihsan lebih lagi kepada emak. Supaya diberikan kegembiraan di dunia ini kepada emak melalui anak-anaknya (maka saya meminta hidayah Allah buat saya dan adik-adik untuk menjadi anak yang soleh dan solehah). Supaya dibangunkan sebuah istana paling indah di syurga buat emak, di tingkat paling tinggi dan paling hampir dengan Masyitah, Asiah dan Khadijah. Supaya diberikan kebaikan kepada emak di dunia dan di akhirat, segala kebaikan yang tak terfikirkan atau terdengarkan. Supaya…
Mula menukil sejak awal pagi semalam. Berhenti berkali-kali. Sebak pecah, menangis sendiri, tahan sedu dan menulis lagi..Sungguh, saya benar-benar tidak dapat menghabiskan tulisan ini..
Sendirian duduk di sejadah, saya berkhayal jauh. Ke mana sesudah ini? Bagaimana sesudah ini? Saya membayangkan bentuk-bentuk perpisahan yang mungkin. Saya tidak gusar dengan bentuk perpisahan yang sementara di dunia, hatta kematian sekalipun. Mungkin takdir saya begitu, tidak sentiasa berdekatan dengan keluarga dan yang saya sayangi. Tak mengapa, kerana saya lebih gusar dengan perpisahan yang kekal di akhirat. Terpisah antara syurga dan neraka, adakah lagi penyatuan yang boleh membahagiakan saya?
Ya Allah, sesungguhnya ibuku, ayahku, adik-adikku adalah milik penuh Mu. Ke atas mereka seluruh penguasaanMu. Tiadalah sedikit pun dari dayaku untuk menetapkan atau memalingkan mereka dariMu. Tidak ke atas diri ku sendiri sekalipun. Maha Penyayang Engkau Ya Allah, berikanlah kepada kami taufiq dan hidayah, tetapkanlah kami di atasnya, dan jadikanlah kami dari kalangan hambaMu yang bertaqwa dan bersyukur. Jadikanlah kami saling melengkapi dan saling menguatkan di jalan agamaMu. Janganlah keseronokan dunia memisahkan kami di akhirat nanti.Wahai yang Maha Memelihara, peliharalah kami dari apa juga bentuk tipu daya.
Bersembang dengan teman, saya ditanya, “Kenapa berusrah?” . Saya gelak dahulu baru menjawab.
“Sebab syurga itu subjektif.” kata saya.
“ Ah, kamu dengan falsafah kamu. Sudah, tolong ringankan untuk saya, untuk apa usrah itu?” Saya mengekek kecil, lucu melihatkannya serabut.
Manusia selalu memberi definisi syurga berdasarkan sempit rasa keseronokan yang mereka rasa. Contohnya, ada golongan mendapat kejayaan yang tidak putus-putus, maka mereka mengatakan bahawa mereka di dalam syurga kejayaan. Tapi nanti bila mereka dipaksakan gagal? Bagaimana? Masih adakah syurga mereka?
Bagi ahli muzik, ahlia perniagaan, ahli cinta dan apa jenis ahli sekali pun, akan mendifinisikan syurga mengikut ilmu dan rasa mereka. Nah, bukankah syurga itu subjektif?
Kita yang muslim, bagaimana pendapat kita tentang syurga?
Muslim yang beriman dengan kehidupan akhirat, harus memandang syurga dari perspektif yang kekal.
Dunia ini seperti permainan, olok-olok sahaja. Syurga sepatutnya kekal, tidak ada lagi kesakitan dan kesusahan sesudahnya. Syurga itu kemenangan akhir yang dekat sebenarnya. Bagaimana indahnya syurga? Oh tidak terbayangkan walau dikerah seluruh akal manusia. Karanglah hikayat tentang indahnya syurga, syurga itu lebih indah dan tidak pernah terdengarkan oleh manusia.
Sekali lagi syurga itu subjektif. Untuk memasukinya, terpulanglah kepada manusia.
Jika kamu meletakkan syurga sebagai kewajipan ke atas diri kamu untuk memasukinya nanti, maka kamu akan mewajibkan diri kamu untuk berada di dalam kebaikan. Sentiasa.
Tetapi jika kamu mensasarkan syurga itu hanya sebagai pilihan, maka kamu akan memilih-milih untuk berbuat kebaikan. Hati jadi berbolak balik samada mahu duduk dalam kebaikan yang membosankan atau bebas dalam kejahatan yang menyeronokkan. Tapi kamu perlu simpan fakta ini kemas-kemas di dalam kepala, bahawa kamu boleh meneruskan kehidupan di akhirat samada dengan memasuki pintu syurga atau diheret ke neraka. Tiada tempat lain di antara kedua-duanya. Syurga itu sebaik-baik tempat kembali, neraka pula tempat untuk mereka yang dahulu di dunia memilih untuk merugi.
Saya, beratur di barisan kumpulan yang pertama. Meletakkan syurga itu wajib ke atas diri saya, maka saya wajib meletakkan diri saya sentiasa di dalam kebaikan. Saya tidak nampak cara lain untuk kekal di dalam kebaikan kecuali berada di dalam kumpulan manusia yang saling mengingatkan. Dan usrah menawarkan suasana solehah itu. Allah jelas memberitahu bahawa dunia ini hanya permainan, dijadikan indah dan melalaikan seperti di dalam surah Al Hadid 57:20.
Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan (hiburan), perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.
Tiada apa yang boleh dibanggakan di dunia ini sebenarnya. Bila keluar roh dari jasad, badan yang segak, rupa yang molek jadi santapan ulat. Tiada harta, tiada karier, tiada anugerah atau apa sahaja yang boleh membuatkan malaikat Mungkar dan Nakir tersenyum nanti. Melainkan amal soleh yang di kumpul semasa hayat.
Dan Allah juga telah bersumpah atas nama masa, bahawa manusia itu rugi, kecuali yang berpesan-pesan untuk mentaati kebenaran dan menetapi kesabaran seperti di dalam surah Al-Asr 103:1-3.
Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan kesabaran.
Untung atau rugi, syurga atau neraka, terpulang kepada kamu sebenarnya.
Saya kulum senyum, hurai jawapan satu-satu di dalam hati. Si teman jadi kurang sabar, menarik muncung. Saya ketawa lagi, sengaja beri si teman kerja. Mahu dia baca sendiri tulisan saya di laman ini. Hihi.
Pesan: Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. Tidak akan tertipu melainkan orang yang tidak berfikir. Jadi, jangan tertipu ya!



Senyum Sapa Salam