Kita semua punya cerita sendiri tentang ibu kita. Kita sebahagian dari ibu kita, ibu pula adalah sebahagian daripada rahsia kita. Inilah sedikit cerita saya, tentang bidadari seorang ini. Takkan habis saya kisahkan kebaikannya walaupun saya ulang-ulang saban malam. Dan, kalaulah kamu benar-benar membaca, kamu akan melihat bahawa saya sebenarnya menulis semua ini dengan air mata.
Saya masih ingat, 16 tahun yang lepas, pada tarikh yang sama. Kami tinggal di Serdang, abah masih belajar, dan kami hidup sangat sederhana. Petang itu, abah bonceng saya dan Aiman. Dengan motornya, abah bawa kami ke sebuah kedai kek. Abah pilih sebiji kek paling murah. Icingnya putih semua, ada lima ceri di atas kek buat penghias. Abah minta pekerja di situ tuliskan sesuatu. Saya ingat semuanya, setiap inci peristiwa masa itu terakam sangat kemas dalam kepala. Saya ingat baju yang saya dan Aiman pakai, saya ingat bagaimana abah mengeluarkan duit dari poketnya, abah kira syiling yang ada, dan bila cukup nilainya, abah serah pada juruwang. Saya ingat ‘mood’ ketika itu, bau ketika itu. Saya ingat saya berdiri dekat dengan abah memerhatikan setiap satu yang berlaku di depan mata. Sesudah itu, abah beli sebungkus rojak di tepi jalan dan kami pulang ke rumah. Di rumah, Cik Ayang sibuk menyusun pinggan dan cawan di atas meja makan. Abah pindahkan rojak di dalam bekas ke dalam pinggan yang agak besar, dan kuahnya abah tuangkan ke dalam mangkuk yang besar juga. Rojak di dalam pinggan abah serak-serakkan sampai hampir ke gigi pinggan. Abah kata, bila guna bekas yang besar, yang sikit boleh nampak banyak. Saya tidak faham ketika itu, tapi saya senyum juga. Lepas 6.30 petang emak pulang ke rumah. Terkejut melihat kami semua sudah berkumpul di hadapan meja makan, dengan sebiji kek icing putih di atas meja. Emak letak beg di tepi, dan datang. Emak baca kuat-kuat tulisan pada kek, ‘Selamat Hari Lahir Emak. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki’. Saya yang pertama datang ke kerusi emak, saya salam dan ucap selamat. Emak peluk dan cium pipi kiri saya. Abah sempat rakam kenangan itu. Kemudian adik-adik lain mengikut.
Hari ini pada tarikh yang sama, 19 Januari 2010, usia emak menginjak 51 tahun. Saya amat realistik bahawa usia yang bertambah menghampirkan kita lebih dekat kepada kematian. Saya menghantar pesan ringkas kepada adik-adik supaya memberi ucap selamat kepada emak, melakukan solat sunat dan sedekahkan yasin buat emak. Jangan lagi menambah risau di hati emak, jangan lukakan perasaan emak, begitu pesan saya.
Saya pandang diri saya di cermin. Saya sudah dewasa. Dahulu emak pernah memipin saya yang ketakutan berjalan di gigi pantai. Emak tunduk melihat saya yang tentu sahaja lebih rendah darinya ketika itu. Emak bercerita laut begini dan begitu, siapa yang mencipta laut, dan sebagainya. Hari ini, saya berjalan dengan emak di pinggir laut. Emak pula yang mendongak sedikit memandang saya, dan saya pula yang berkisah rahsia kejadian laut begitu dan begini. Saya sudah dewasa. Adik-adik kakak, lihat, kita semua sudah dewasa, kita punya semangat berkobar-kobar, kita kuat dengan darah muda. Tinggalkan kawan-kawan yang kamu terlalu sayang itu, lihatlah pula pada emak. Emak sudah makin tua, sudah tidak kuat lagi, tidak lagi boleh menganggkat yang berat seperti masa kita kecil semua kecil dahulu. Jangan lagi bebankan kelemahan emak dengan kedegilan kita. Tak tertanggung dia.
Sebenarnya saya gusarkan tentang adik-adik saya yang lelaki terutamanya. Saya pernah lihat emak menangis kerana anaknya, emak sangat susah hati dengan anaknya. Saya? Saya lebih lagi, bukan sahaja berat memikirkan perasaan emak yang sakit, saya kenangkan juga nasib si adik di akhirat nanti. Bila ibu menangis kerana sedih terhadap perbuatan anaknya, dimanalah tempat tinggal akhir adik saya ini nanti? Mungkinkah di syurga yang saya impikan kami sekeluarga berkumpul di dalamnya? Emak menangis, saya lebih lagi tersedu.
Cerita emak, dia pernah bermimipi bulan turun ke ribanya. Dia sangat senang dengan cahaya bulan yang terang dan memberi damai, tidak membakar seperti matahari. Kata emak, maksudnya mimpi itu ialah ilmu sehingga akhir hayat. Saya melihat kesungguhan emak di dalam lafaz cintanya terhadap ilmu. Dan saya, memasang azam untuk meneruskan legasi ilmu emak.
Emak rahmat terbesar buat semua orang yang berada di sekelilingnya. Emak sangat sempurna di mata saya. Sejak saya mula pandai mengenal rasa, kebaikan dan kelembutan emaklah yang paling dalam tertanam dalam diri saya. Benar, saya sedikit memberontak di awal usia belasan tahun. Tumbuh di tengah-tengah lelaki, watak saya dibentuk keras seperti lelaki. Ketegasan abah hanya menambah keras kepala saya. Jadilah saya pada hari ini manusia dengan kemahuannya yang tetap, jangan sesekali mengatakan tidak boleh-saya akan mara lebih lagi, jangan menghalang-kerana saya akan mencabar kembali. Emaklah yang selalu melentur saya kemudiannya. Tegas abah dan hikmah emak menjadikan saya seperti air yang jika ditahan laluannya, akan segera membentuk alur yang baru.
Usia saya 13 tahun dan emak memaksa saya belajar jauh di utara semenanjung. Sangka saya emak membenci kedegilan saya lalu membuang saya jauh-jauh. Rupanya bukan begitu. Di tempat baru, saya melihat kebaikan emak di mana-mana, dan saya jadi rindu. Hikmah Allah, mahu melentur kekerasan saya dengan air mata. Saya jinak dengan buku-buku kemudiannya, saya bawa buku Mutiara Hidup yang emak bekalkan kepada saya ke mana-mana sahaja. Saya dilentur takdir Allah dengan selentur-lenturnya. Rindu pada keluarga dan si kembar yang masih merangkak waktu itu, benci diletakkan di tempat asing, pening dengan karenah manusia-manusia ‘ber-agama’ – semuanya menjadi satu. Baru lewat ini saya memahami tindakan emak. Emak mendidik saya, bahawa kasih sayang itu bukanlah apabila kita selalu bersama. Emak putuskan kebergantungan saya dengan manusia- dia, abah, adik-adik, kawan-kawan baik dan sesiapa juga. Emak tanamkan dalam diri saya tawakal secara langsung dengan Tuhan. Saya jadi makin kendiri. Saat saya rasa sangat susah, saya hubungi emak, menggogoi di telefon. Pujuk emak, carilah kawan yang lebih susah, dengarlah masalah mereka, kongsikan biskut atau kerepek barang sepeket dua. Ah, emak saya kitab psikologi yang berkata-kata. Kerana itulah juga akhirnya saya menjadi penutur falsafah yang memeningkan kepala teman-teman.
“Emak minta maaf.” Itulah kata-kata yang paling saya benci untuk didengar dari mulut emak. Emak minta maaf dengan saya? Sedangkan syurga saya di bawah restu emak. Hati saya pecah, perasaan saya berkecai-kecai apabila emak minta maaf kerana tidak mampu menghantar saya ke Mesir untuk belajar perubatan berapa tahun yang lalu. Saya menyumpah diri sendiri yang sayalah anak yang paling mementingkan diri sendiri. Saya bencikan diri saya setiap kali emak mengulang kata maaf.
Emak bidadari saya. Kecintaan saya. Guru pertama saya. Sahabat sejati saya. Naqibah saya. Murabbiah saya. Kebaikan emak memenuhi setiap halus urat saraf saya. Pesan emak- jangan membenci, maafkan, lepaskan, memberilah, mulakanlah kebaikan, dan banyak lagi. Dan saya melihat emak dan kebaikannya di mana-mana..
Usai mahgrib tadi, saya pohonkan doa untuk emak. Emak sudah banyak berihsan kepada kami adik-beradik, kepada abah dan keluarga abah juga. Saya merayukan untuk emak sungguh-sungguh, supaya Allah berbelas ihsan lebih lagi kepada emak. Supaya diberikan kegembiraan di dunia ini kepada emak melalui anak-anaknya (maka saya meminta hidayah Allah buat saya dan adik-adik untuk menjadi anak yang soleh dan solehah). Supaya dibangunkan sebuah istana paling indah di syurga buat emak, di tingkat paling tinggi dan paling hampir dengan Masyitah, Asiah dan Khadijah. Supaya diberikan kebaikan kepada emak di dunia dan di akhirat, segala kebaikan yang tak terfikirkan atau terdengarkan. Supaya…
Mula menukil sejak awal pagi semalam. Berhenti berkali-kali. Sebak pecah, menangis sendiri, tahan sedu dan menulis lagi..Sungguh, saya benar-benar tidak dapat menghabiskan tulisan ini..
Sendirian duduk di sejadah, saya berkhayal jauh. Ke mana sesudah ini? Bagaimana sesudah ini? Saya membayangkan bentuk-bentuk perpisahan yang mungkin. Saya tidak gusar dengan bentuk perpisahan yang sementara di dunia, hatta kematian sekalipun. Mungkin takdir saya begitu, tidak sentiasa berdekatan dengan keluarga dan yang saya sayangi. Tak mengapa, kerana saya lebih gusar dengan perpisahan yang kekal di akhirat. Terpisah antara syurga dan neraka, adakah lagi penyatuan yang boleh membahagiakan saya?
Ya Allah, sesungguhnya ibuku, ayahku, adik-adikku adalah milik penuh Mu. Ke atas mereka seluruh penguasaanMu. Tiadalah sedikit pun dari dayaku untuk menetapkan atau memalingkan mereka dariMu. Tidak ke atas diri ku sendiri sekalipun. Maha Penyayang Engkau Ya Allah, berikanlah kepada kami taufiq dan hidayah, tetapkanlah kami di atasnya, dan jadikanlah kami dari kalangan hambaMu yang bertaqwa dan bersyukur. Jadikanlah kami saling melengkapi dan saling menguatkan di jalan agamaMu. Janganlah keseronokan dunia memisahkan kami di akhirat nanti.Wahai yang Maha Memelihara, peliharalah kami dari apa juga bentuk tipu daya.

1 komen
Sumber komen-komen untuk artikel ini
21 Januari 2010 pada 9:11 AM
farahzulaikha
Ameen..ameen..ameen..
Semoga doamu dikabulkan, wahai ukhtiku sayang. Dirimu yang berada kejauhan… semoga sentiasa dalam pemeliharaan Tuhan. ameen.