Saya ziarah Kak Long di Hopsital Serdang. Ain dan Aqilah datang sekali. Seronok dapat berjumpa semula selepas hampir empat tahun . Maha Suci Allah, milikNya kuasa pertemuan dan perpisahan. Dan seperti biasa, manusia di beri ketetapan atas keperluannya, bukan atas kehendaknya. Mengapa? Mudah, kerana kita tidak menulis takdir sendiri. Pertemuan semula ini juga, saya kira kerana ada keperluannya. Rindu sungguh saya dengan kakak saya yang seorang ini.

Saya lihat Kak Long berat menahan ubat yang masuk ke dalam badan. Itu cycle ke enam, kata Kak Long. Melihatkan keadaan kakak saya yang lemah, dan saya pula tidak boleh menolong apa-apa, membuatkan saya rasa sangat tidak berdaya. Lemahnya saya yang bernama manusia ini. Semasa menunggu Kak Long, datang seorang adik, menghidap SLE juga. Suhaili, pelajar kejuruteraan tahun satu di UPM. Kami sempat berkongsi cerita. Kisah Suhaili, adiknya meninggal semasa berumur 18 tahun, semasa mereka sama-sama bertarung melawan SLE. Sudah janji adik begitu, pujuk saya.

Saya mengulang kata sabar dengan mereka. Mungkin kedengaran mudah untur memberi pesan begitu, sedangkan saya tidak merasai kesakitan mereka. Kak Long dan Suhaili, Allah tidak akan memberatkan kita dengan kesakitan diluar kemampuan kita menanggungnya. Bila diberi uji, bermakna kekuatan untuk menerimanya ada di dalam diri. Janganlah mengaku tewas sebelum usai ujian. Bukankah kalian sudah mengishtihar cinta kepada Allah? Sudah berjanji beriman denganNya? Di situlah letaknya sebab ujian. Benarkah cinta, tapi tak pernah teruji? Benarkah iman, tapi belum didatangkan cubaan? Janji Allah, bersama kesusahan, ada bersamanya jalan kemudahan.

Saya percaya kalian meminta sabar di atas ujian. Kami yang di sekeliling ini juga sangat mendoakan kamu agar di beri kesabaran. Tetapi bagaimana sebenarnya hakikat sabar itu? Sabar tidak lahir bersama dengan lahirnya seorang manusia. Sabar itu tidak diberi dengan di angkat semua kesusahan dan diganti kesenangan. Sabar juga tidak akan datang dalam satu dos suntikan. Sabar itu sifat yang dipupuk. Kita semua meminta sabar, maka Allah datangkan ujian demi ujian lagi, tambah berat, tambah susah. Mengapa? Kerana setiap takah ujianNya yang kita berjaya lepasi, di situlah dos sabar yang kita perolehi. Semakin banyak yang kita lepasi, semakin besar sabar yang kita kumpul. Sehinggalah, pada satu ketika kita tidak terasa beratnya ujian Allah, malah bersama kesakitan itu, lebih dekat kita dengan Allah. Nah, saat itu sudah cukup pakej sabar yang ada pada diri kita. Sudah termakbul doa kita yang meminta-minta supaya diberikan kesabaran.

Terfikir pula tentang Rasulullah SAW, betapa beratnya ujian untuk baginda, dipaksakan kehilangan demi kehilangan, di suakan kesusahan di jalan dakwah, sedangkan baginda itu kecintaan Allah. Rupanya, ujian-ujian itulah yang membentuk kesabaran yang sangat hebat. Sabarnya baginda menjadi kamus rujukan untuk segala bentuk kesusahan kita pada hari ini.

Bersyukurlah dengan ujian, memintalah diberikan kesabaran. Ramainya manusia yang di ‘dera’ di zon selesa, tiada mereka menambah apa-apa dari kehidupan. Melainkan mereka menyangka sangat disayangi Tuhan, sedang nikmat di sekeliling itu hanyalah istidraj yang kelak di akhirat akan sangat menyiksakan.

Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran. (Al-’Asr 103:1-3)

Saya minta diri untuk pulang, Kak Long senyum, saya kira itulah senyuman paling indah yang pernah saya lihat.  Menyembunyikan kesusahan di balik manis muka yang dipaksakan. Saya lihat sabarnya di situ. Sabarlah, kerana syurga itu terlalu manis. Kak Long, saya sangat mendoakan!