Sebenarnya saya tidak pasti tarikh sebenar Hari Ibu. Bukankah setiap hari ialah Hari Ibu? Dari mana datang sejarah tarikh ini pun saya tidak habis cari lagi. Semalam emak beritahu saya dan si kembar yang Syarifuddin dan Fakhruddin beri ucap selamat sempena hari ibu kepadanya. Dan saya lihat, emak terhibur. Sangka saya emak tidak pernah kisah dengan tarik-tarikh seperti ini. Tahun-tahun sudah saya ucap juga, tetapi tidak tentu masa. Kadang-kadang bulan julai pun saya ucap selamat Hari Ibu. Hari istimewa boleh diadakan bila-bila sahaja. Fikir saya. Tetapi, baru ini sahaja belajar tentang wara’ di dalam usrah. Darjat wara’ ke empat ialah meninggalkan segala yang bukan kerana Allah. Hari Ibu pernah diajar di dalam syariatkah? Jadi macamana ni?
Maghribnya, saya solat jemaah dengan emak dan si kembar. Emak imamah kami. Usai solat dan doa, saya salam dan peluk emak.
“Emak, selamat hari ibu..”. Emak senyum dan ucap terima kasih. Emak titip pesan buat kami anak-anak perempuannya. Kata emak jagalah diri di mana sahaja berada. Bukan jauh atau dekat dengannya yang emak risaukan. Yang membuatkannya gusar adalah bagaimana kami akan bersungguh-sungguh menjaga hubungan dengan Allah.
“Bila hubungan dengan Allah terjaga, seluruh hubungan lain dan segala urusan kita akan terjaga juga. Kalau kakak, najiha dan nabiha pelihara hak Allah dalam diri, yakinlah Allah memelihara diri kita lebih lagi. Perlindungan Allah tak akan boleh diceroboh dengan apa-apa pun.”
Saya usik emak, saya kata memandangkan emak tidak kisah saya akan ke mana sesudah belajar ini, jadi saya mahu bekerja di Sabah dan kemudian sambung belajar di Perancis. Emak diam. Kemudian emak senyum lagi.
Emak kata, “Boleh, tapi kena sediakan tiket kapal terbang setiap kali cuti sekolah. Kami nak datang sana.”
“Erk…bukanke patutnya saya yang balik rumah? Kalau semua nak datang tiap-tiap tahun, kenalah saya beli satu kapal terbang..” . Si kembar pecah ketawa.
Hm.. saya yakin emak tidak kisah langsung dengan Hari Ibu. Malah, emak komen bahawa tarikh-tarikh ‘istimewa’ seperti ini selalu membuatkan manusia lebih jauh dari Allah. Syarikat-syarikat sibuk dengan promosi jualan atau program istimewa, dan manusia pun sibuklah mencari hadiah ‘kebendaan’ terbaik buat yang disayangi. Bukankah lebih baik kalau mendoakan kebaikan atau sedekah zikir buat tersayang?
Walaupun emak tidak berapa peduli, saya tetap rasa gembira dengan kegembiraan emak. Jarang adik-adik lelaki saya telefon emak bertanyakan khabar. Sesekali mereka memberi ucapan begini, tentu emak rasa senang. Saya, meletakkan niat di atas ucapan itu bukan sempena Hari Ibu yang sedang diraikan, bahkan hanya untuk membuatkan emak rasa dihargai dan paling penting untuk memberitahunya bahawa saya dan adik-adik sangat menyayangi emak. Tiada hadiah ataupun kad, hanya doa yang sangat sarat dan lebih istimewa dari biasa kami pohonkan untuk emak. Kebahagian emak adalah pahala buat kami.
Hari ini saya sudah kembali ke kampus. Menguruskan tukar bilik seharian. Letih yang tak boleh digambarkan. Buku-buku yang dua bakul ini betul-betul mahu mematahkan tangan saya. Alhamdulillah, bilik baru sudah siap dikemas. Permandangan di sini lebih indah, SubhanAllah. Ada tasik di hadapan bilik, dan dusun disebelah belakang pula. Moga tempat baru memberi semangat baru untuk saya terus memperbaiki diri. Mohon lebih banyak kebaikan yang akan ditemukan di sini. Emak, doakan saya!


Tinggalkan komen
Sumber komen-komen untuk artikel ini