You are currently browsing the monthly archive for Jun 2010.

Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, “Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.” (An-Naml 27:18)

Kelmarin daurah tentang Dakwah dan Halatujunya. Saya tertarik dengan analogi sunnah si semut oleh ikhwah yang menyampaikan pengisian. Perhatikan di dalam surah An-Naml (Semut), seekor semut yang menyedari kemaraan Nabi Sulaiman bersama tenteranya telah segera memberi amaran kepada semut yang lain untuk berlindung di dalam sarang masing-masing.

Prihatin seekor semut dan sikap peduli ke atas kemaslahatan ‘ummat’ semut mesti diteladani oleh para dai’e. Apakah hikmah Allah menyelitkan peristiwa semut ini di dalam Al Quran? Tentulah ia bukan perkara remeh atau kejadian kecil yang tiada kepentingan terhadap kita. Terdapat idea dakwah yang mahu disampaikan di sini.

Muslim yang mempunyai kefahaman menyampaikan dakwah wajib bertindak seperti semut di dalam petikan surah An-Naml diatas- sentiasa awas dengan bahaya di sekeliling dan berusaha menyelamatkan bukan sahaja diri sendiri malah ummah keseluruhannya dari bahaya yang nampak. Apakah bahaya tampak ke atas ummah yang jelas kita ketahui ketika ini? Saya beri satu contoh jawapan- Kejauhan umat Islam dari identiti dan kehidupan Islam. Kebejatan akidah ini kelak akan menghayutkan mereka di dalam maksiat dunia.

Tarbiah dan dakwah tidak boleh dipisahkan. Dakwah bermula dengan tarbiah. Rasulullah SAW mendapat tarbiah berterusan daripada Allah dan malaikatNya Jibril sebelum baginda menyampaikan dakwah  Islam kepada sahabat-sahabat. Manfaat tarbiah adalah buat individu yang melaluinya. Kefahaman yang diperoleh daripada pakej tarbiah berfungsi membentuk individu muslim yang terkesan dengan Al Quran dan Sunnah. Kebaikannya untuk menyelamatkan diri sendiri daripada perkara-perkara yang menarik ke neraka. Dakwah pula ialah output tarbiah. Muslim yang ditarbiah dan menyimpan agama hanya untuk keselamatan dirinya adalah mereka yang meninggalkan hikmah cerita semut dalam surah An-Naml. Tiada rasa tanggungjawab untuk sama-sama memastikan manusia lain juga harus selamat daripada azab neraka.

Saya rasa sangat kecil apabila memikirkan sunnah si semut. Malah lebih kecil rasanya dari semut. Sehingga umur saya pada hari ini, berapa ramai sahaja yang saya dakwahkan? Belum lagi kalau ditapis berapa ramai pula yang saya sungguh-sungguh mahu menyampaikan Islam kepada mereka. Hujah apa yang saya terpaksa berikan apabila ditanya di akhirat nanti?

Mudah ke dakwah? Saya kata susah (Adakah dakwah yang senang??). Mahu menyelamatkan diri sendiri dari api neraka pun masih merangkak, kena pula menarik sama emak abah, adik-adik, saudara mara, kawan-kawan dan orang sekeliling. Beratnya. Tapi bolehkah saya beralasankan susah untuk bebas  dari dakwah? Tidak boleh. Malu kalau semut tahu. Semut pun ‘berdakwah’ menyelamatkan bangsanya dari bahaya. Saya bagi alasan susah? Tak patut..tak patut..

Saya dihadiahkan sebuah buku sebelum berhenti kerja di kedai Cik Nab. Falsafah Hidup tulisan Buya Hamka. Membaca beberapa baris sahaja daripada buku ini membuatkan saya segera memuji Tuhan. Benarlah hikmah itu diminta dan dicari. Barulah kemudian ia diberi.  Hak Allah mahu menunjukkan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Buah fikiran Hamka ialah falsafah yang mahal. Di dalam  buku ini beliau bersuara sebagai ahli falsafah yang berpasak dan berakar.

Bukanlah Yang Ada itu tidak ada. Melainkan merekalah yang tidak bertemu, atau mengelak jika telah bertemu. Kerana kurang berani atau kerana fikiran tidak merdeka. Kerana diikat oleh yang telah terbiasa. Walaupun golongan ini kadang-kadang menamakan dirinya golongan yang berfikiran merdeka . (Hamka, 1940)

Apakah falsafah dan siapa pula ahli falsafah?

Menurut rekod, manusia mula mengenal falsafah ketika zaman Yunani lagi. Falsafah merujuk kepada perkataan filsafat, filsafah atau pilosofie. Pilos bermaksud penggemar dan sofie (daripada kata sofos) bermaksud hikmah atau ilmu. Hikmah pula boleh dipanjang ertinya sebagainya rahsia.

Falsafah berkembang dengan kebangkitan tamadun demi tamadun. Seperti lelabah yang mengayam sarangnya, falsafah berkait dan berhubung. Tetapi mungkin kerana terlalu lama, manusia tenggelam dan timbul antara yang gelap dengan yang terang, maka fikiran mereka jadi keliru. Sehingga kemuncaknya materialism mencadangkan bahawa agama hanya dogma yang menghalang pembangunan manusia. Natijahnya hari ini kita mendengar tentang atheism, scientology dan sebagainya.

Asalnya semua manusia berfikir. Siapakah kita? Ke mana sesudah mati? Apakah cinta? Bagaimanakah air dicipta? Mengapa perlu hidup? Dan bermacam lagi. Kemudian manusia terbahagi kepada dua kumpulan; yang endah(terkesan dan terus mahu berfikir)  dan yang tidak mengendahkan(bosan dan tiada rasa kepentingan untuk terus berfikir). Golongan yang endah adalah calon-calon ahli falsafah, mereka mahu menembusi rahsia-rahsia besar kehidupan. Namun akhirnya hanya sedikit yang menjadi filsuf.

Islam agama yang memimpin falsafah supaya pemikirnya tidak terbang telalu jauh hingga putus tali kesedarannya atau berenang tanpa pedoman sehingga akhirnya lemas dalam gelap pemikiran yang tidak boleh disuluh lagi. Untuk mencari hikmah, muslim dianjurkan supaya berfikir. Itulah kunci mencari rahsia.  Kunci menjadi bijaksana. Kata Buya Hamka, orang yang membaca Al Quran dengan penuh minat  dan orang yang membersihkan jiwanya dengan kebenaran, secara tidak langsung akan berjalan menuju falsafah. Di sini adalah salah satu daripada beratus ayat AlQuran yang menyuruh manusia berfikir dan mencari falsafah kejadian.

Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta, bagaimana ia diciptakan. Dan langit, bagaimana ia ditinggikan. Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi, bagaimana ia dihamparkan? (Al Ghasyiah 88:17-20)

Saya selalu mengaitkan falsafah dengan ‘common sense’. Kerana fikir saya asalnya keelokan itu adalah fitrah yang terfikirkan oleh semua orang. Kebaikan itu logik. Tetapi ada yang mengatakan pula bahawa ‘common sense is something that is not common’. Kebiasaan yang menjadi luar biasa. Mengapa jadi begitu? Mudah, kerana ramai yang mengambil enteng atau tidak mahu ambil tahu tentang perkara remeh. Batu bata biasa menjadi luar biasa kepentinggannya untuk membina tembok besar China. Atau boleh jadi juga, terlalu membesarkan perkara remeh sehingga terabai perkara yang lebih besar. Seperti menyalahkan takdir sedangkan takdir ‘pahit’ itu adalah laluan ke syurga. Tidakkah kesakitan itu terlalu remeh jika dibandingkan dengan kesenangan di syurga?

Kerana hanya sedikit daripada pemikir yang menjadi filsuf, maka besarlah peranan filsuf meletakkan nama dan fungsi keelokan yang terfikir oleh ramai manusia. Analoginya, keelokan-keelokan itu seperti percik  warna di atas kain putih. Abstrak yang terhasil kelihatan sangat harmoni tetapi mahu dipanggil apa? Lalu filsuf memberi garisan sebagai batas bagi menyerlahkan bentuk,juga menambah catan supaya lakaran boleh diberi nama. Bulatkah atau segikah. Abstrak yang diobjekkan ini seterusnya diberi fungsi. Kalau bulat bergoleklah, kalau segi berdirilah.

Tengok sikit muka orang yang baca entri ni, berkerut sampai bercantum kening tu..Haha.. mesti dah penig kepala..

Mudahnya macam nilah.. Memberi nama di sini bermaksud memaknakan keelokan itu agar kelihatan lebih jelas. Meletakkan fungsi pula bererti meletakkan kesesuaian bagi keelokan itu dan syarat-syarat untuk mengesankan. Mahu menolong orang tu contoh keelokan (macam percik warna atas kain putih tadi). Semua orang ada logik atau fitrah ini. Filsuf letak nama pada keelokan ini. Contohnya- ‘memberi keadilan’. Kemudian filsuf letak pula syarat-syarat ‘memberi keadilan’. Jalannya mesti betul, tak boleh macam Robin Hood, nak tolong orang susah tapi mencuri. Kemudian filsuf ajar pula untuk cara untuk mengesankan, perlulah diniatkan kerana Allah. Barulah memberi keadilan tu nanti memberi pahala buat yang melaksankan. Jelaskan?

Falsafah yang benar akan menghidupkan, membawa kita makin hampir dengan hakikat kehambaan yang mana itulah juga hakikat kebebasan dan kemerdekaan. Hanya satu sumber falsafah yang benar- akidah Islamiah. Kita nanti bisa melihat indah keelokan penciptaan atau keelokan akhlak itu bersandar pada keesaan Tuhan yang mesti hanya satu. Tidak ada yang pincang di dalam susun atur kejadian atau takdir ketetapan. Semuanya punya alasan dan kebijaksanaan Tuhan. Itulah rahsia yang yang kita disuruh fikirkan.

Sementelah falsafah yang salah hanya manjadi momok kepada manusia, membutakan mata dan menulikan telinga daripada kebenaran yang sangat jelas lagi luas terbentang. Seperti manusia yang terperangkap di atas sawang labah-labah. Takut dan terpenjara. Tiada akar tiada tunas. Di tengah-tengah tidak ke mana-mana. Kerana mereka menolak campurtangan Tuhan. Lalu mereka mencipta ideologi syaitan, menghukum memandai-mandai. Meneka entah apa-apa. Lupa bahawa nanti di hari kebangkitan, syaitan bakal berlepas tangan.

Hm.. kalau mahu berbicara tentang falsafah, digunakan seluruh masa hidup pun tidak akan cukup. Kata Buya Hamka, falsafah itu luas, seluas fikiran sejak manusia pandai berfikir. Saya mahu menambah sedikit, falsafah itu bahkan seluas kejadian semesta dan setua hayat alam dijadikan. Saya suka sekali menghadam Falsafah Hidup di waktu lengang. Lebih mengesankan apabila duduk sendiri dibawah pokok asam menghadap tasik buatan sebelah surau. Tenangnya seperti mendengar sendiri Buya Hamka berbicara.

Allah menganugerahkan Hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah itu, dia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. dan hanya orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah). (Al Baqarah 2: 269)

Kerana menghadiahkan kitab hikmah ini kepada saya, terima kasih Nik!

Wangi Lavender di Tengah Hutan

Kata mereka hutan itu gelap, warna hijaunya adalah tafsiran hitam yang rahsia. Manusia yang aneh, selalu sahaja menghukum sedangkan alam tidak dihadiahkan untuk Si Lemah tanpa sempena apa-apa. Nah, lavender di tengah hutan. Bagaimana? Ungu yang memberi seri, sehingga di mata nampak harmoni. Tetapi bagaimana cerita di hutan, jika benar-benar lavender tumbuh mengambil alih habitat pemastautin di tanahnya? Barangkali hanya imaginasi manusia romantisma, keterlaluan mengadakan keindahan yang barangkali tiada. Lupa yang penciptaan punya suratan.

Tidak.

Lavender bunga baik. Tidak mungkin lavender menipu kita dengan wanginya lalu merampas hak hutan. Tidak mungkin lavender mengejek hidupan di hutan sementelah dirinya terlalu sempurna. Tidak mungkin lavender yang indah memulakan arah kejahatan di belantara hutan. Tidak mungkin, melainkan lavender itu adalah nama seorang manusia.

Usrah mingguan semalam, kami belajar surah Al-Haqqah. Tentang kedashatan gegaran hari qiamat. Kalimah الْحَاقَّةُ bermaksud saat atau ketetapan yang pasti berlaku. Tidak boleh tidak. Itulah hari penggulungan alam dan penutupan semua kehidupan. Hari qiamat. Itulah hari di mana kita akan saling kehilangan. Kak Ji bercerita tentang ‘qiamat olok-olok’ di dalam filem 2012. Kata Kak Jie, orang- orang yang berkuasa dan berpengaruh tidak aci kerana mendapat perlindungan istimewa semasa bumi ‘mengamuk’. Saya ada menonton filem itu di rumah. Entah CD siapa (Syarifuddin barangkali) yang saya temui semasa mengemas rak buku di rumah, saya tonton dengan si kembar. Saya jadi gerun melihatkan ombak besar tsunami menggulung tanah dan segala isinya, malah Dr Satnam Tsurutani yang berjasa mengesan perubahan besar bumi itu turut di telan sekali. Roland Emmerich mungkin cuba melampu besarkan kemusnahan yang berlaku disebabkan ‘penstrukturan’ semula bumi di atas fakta peningkatan suhu di dalam bumi dan pergerakan plat bumi pada skala yang menakutkan. Mungkin kerana itu terdapat sekelompok manusia dan haiwan dapat diselamatkan di dalam sebuah kapal yang mega besarnya. Saya mahu mengatakan bahawa filem ini bukan fiksyen ‘bodoh-bodoh’ atau imaginasi kosong semata-mata. Ia ditulis hasil kajian peristiwa Nabi Nuh yang membina sebuah bahtera besar buat perlindungan orang-orang yang beriman dan binatang diselamatkan berpasang-pasangan (Haha..anehnya kufar, dalam menidakkan masih tetap mengkomersialkan hari qiamat). Namun saya tidak mahu mengupas tentang gimik baik Presiden US yang sanggup mati bersama rakyatnya atau ketepatan fakta di dalam filem atau kecanggihan alatan dan teknologi yang dipaparkan.Saya lebih bermaksud untuk membandingkan qiamat 2012 dengan apa yang dikisahkan tentang qiamat di dalam Al Quran.

Alam kita adalah satu sistem yang tertutup. Bumi dan isinya adalah satu model besar yang saling melengkapi dan memerlukan. Bukan itu sahaja, kita malah berhubung dengan planet lain di dalam sistem suria kita, bahkan dengan semua objek di dalam jutaan galaksi di angkasa. Usah pergi terlalu jauh, lihat di bumi dahulu. Cuba kamu berdiri di luar, perhatikan apa yang berada di antara kaki dan kepala kamu? Tanah yang kamu pijak dan tentu, langit yang membumbungi. Langit yang melindungi. Qiamat yang dicipta manusia barat di dalam 2012 terlupa bahawa langit tidak mungkin seteguh yang digambarkan saat berlakunya qiamat.

Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup sangkakala dengan sekali tiup. Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur. Maka pada saat itu berlakulah hari qiamat. Dan terbelahlah langit, lalu jadilah ia pada waktu itu reput (runtuh). (Al Haqqah 69: 13-16)

Apabila matahari digulung. Dan apabila bintang-bintang berjatuhan. Apabila gunung-gunung dihancurkan. Dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan (tidak dipedulikan). Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan. Dan apabila lautan dipanaskan. Dan apabila roh-roh dipertemukan dengan tubuh. Apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya. Kerana dosa apakah dia dibunuh? Dan apabila catatan-catatan (amal perbuatan manusia) dibuka. Dan apabila langit dilenyapkan. Dan apabila neraka Jahim dinyalakan. Dan apabila syurga didekatkan. Maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan. (At-Takwir 81: 1-14)

Sesungguhnya hari keputusan adalah satu waktu yang ditetapkan. Iaitu hari ditiup sangka kala lalu kamu datang berkelompok-kelompok. Dan dibukalah langit, maka terdapatlah beberapa pintu. Dan dijadikan gunung-gunung maka menjadi fatamorganalah ia. (An-Naba’ 78: 17-20)

Langit yang kukuh melindungi kita hari ini nanti akan terbelah, reput dan runtuh. Pada hari tu adakah kapal besar yang mungkin melindungi manusia seperti di dalam 2012? Adakah besi atau apa sahaja yang boleh memelihara manusia daripada hentaman entiti semesta yang kucar-kacir? Manusia berfikiran waras yang membaca firman Allah berkenaan qiamat tidak mungkin akan tidak berasa takut. Tidak perlu untuk mengambil kelas metereologi untuk membayangkan kehancuran langit.  Ayat-ayat Allah sangat jelas dan manfaatnya hanya buat yang mahu berfikir.

Qiamat, hari yang pasti datang dan peristiwa yang mesti berlaku. Ia seolah-olah pintu yang menghubungkan dunia khayalan yang kita lalui sekarang ini dengan kehidupan yang kekal. Seperti pintu yang saat ia terbuka lalu mengejutkan semua yang di dalamnya. Terdapat beberapa surah di dalam Al Quran yang memberitahu tentang kedasyatan qiamat dan rententan peristiwa yang akan berlaku sesudahnya. Al-Haqqah, Al-Qariah, Al Qiamah, At-Takwir dan Al-Waqiah di antaranya. Surah-surah seperti ini diturunkan di Makkah dan dinamakan ayat-ayat Makiyyah. Mengapa? Kerana, di dalam konteks perbincangan ini, hari qiamat adalah perkara akidah yang wajib diyakini oleh manusia beriman. Ketakutan terhadap hari qiamat membawa kepada keyakinan tentang keesaan dan kekuasaan Allah yang mutlak. Seterusnya membuatkan manusia memikirkan hakikat kehidupan di akhirat yang tidak ada pilihan lain melainkan syurga atau neraka. Fitrah manusia sukakan ganjaran (dibayar gaji apabila bekerja, kanak-kanak diberi gula-gula apabila mendengar kata dan sebagainya) dan menolak kesakitan. Syurga ganjaran terbaik dan tidak ada kebaikan yang lebih baik sesudahnya, dan neraka adalah seburuk-buruk tempat kembali dan tidak ada yang lebih buruk daripadanya. Maka, ketakutan terhadap hari qiamat dan pembalasan mencipta keyakinan terhadap Allah lalu segera  menghalakan  mereka untuk mengharapkan balasan baik untuk kehidupan yang kekal. Syurga.

Apabila berlakunya saat itu, ketahuilah bahawa tidak ada guna pangkat ratu mulia, pemipin benua atau cendiakawan dunia. Semuanya akan mati  di dalam kehancuran semesta.

Coret ini tentang Nabilah, teman saya sejak sekolah rendah. Zaman kecil saya tidak diwarnai dengan kawan yang bermacam-macam kerana saya tidak punya ramai kawan. Sedikit yang saya akrab dengan mereka, dan sedikit itulah yang berkekalan hingga ke hari ini. Salah seorang, Nabilah.

Terdapat sedikit manusia di dunia ini, selain keluargamu, yang kamu beroleh daripada mereka cinta tanpa syarat.

Nabilah gadis cantik. Kacukan Pakistan dan Jawa, peramah dan mudah tersenyum membuatkan dia mudah didekati orang. Kelebihan itu juga membuatkan ramai yang dengki dan iri hati dengannya. Di atas semua kelebihan itu, pada saya Nabilah ialah gadis baik. Saya menghabiskan hampir sebahagian besar usia belasan tahun bersama Nabilah. Kami tinggal berdekatan dan bersekolah di sekolah yang sama. Tentu sahaja kami saling berkunjung, ke rumah saya atau ke rumahnya. Di sekolah, kami menyertai hampir semua  aktiviti bersama. Banyak kenangan saya dengan teman yang seorang ini di rata-rata tempat di sekolah. Watak keras saya selalu dilembutkan dengan sifat keanak-anakan Nabilah. Selalu dimarahi saya, tetapi dia bijak memancing lucu dan menukar suasana tegang. Paling teruk yang saya boleh ingat, ketika Nabilah datang ke rumah saya usai sekolah pada satu hari. Dia bawa bersama beberapa tangkai mawar merah mahu memujuk marah saya. Apa yang saya amukkan tidak pula saya ingat. Saya terlalu marah dan berkeras tidak mahu berjumpa. Nabilah pujuk Fakhruddin supaya memanggil saya keluar. Sudahnya saya keluar dan menghambur marah kepada Nabilah. Haha.. kasihan.. saya suruh Nabilah pulang dan bawa sekali bunga-bunganya. Lewat petang marah saya sudah reda, saya pula ke rumahnya. Sengih besar-besar, saya minta semula bunga yang dia mahu berikan tadi.

“Eleh.. tadi sombong sangat.. nah ambik satu je. .”

“Satu pun takpe.. terima kasih ye.”

“Aku mintak maaf tau”

“Aku pun.. lain kali kalau kau tengok aku tengah marah, tak payah nak senyum-senyum bawak bunga ke pokok ke. Duduk je jauh-jauh. Pandaila aku sejuk sendiri  lepas tu cari kau balik..Kau tahu aku macam mana kan?”. Tersenyum dan kemudian kami ketawa bersama.

Saya bangga (bersyukur sebenarnya) untuk mengatakan saya seorang yang kreatif. Tentunya ia dipupuk dari persekitaran. Gurunya? Emak dan Nabilah. Mengitar semula kertas-kertas untuk dijadikan kad ialah kepakaran kawan saya yang seorang ini. Semasa di tingkatan lima, saya dan Nabilah mengambil subjek tambahan Pendidikan Seni Visual dan Reka Cipta. Seronok mengingatkan masa-masa bersama, berlatih melukis, menyiapkan folio dan mencipta ukiran kayu. Satu petang, saya dan Nabilah ke padang masjid dengan buku lukisan, pensel dan sedikit warna. Kami duduk bersila menghadap beberapa biji buah kelapa dan melakar. Sambil bercerita, berkongsi rahsia dan jenaka.

Selepas SPM, saya ke Melaka menyudahkan matrikulasi, Nabilah ke politeknik mengambil jurusan fesyen. Kalau sudah memang orang seni, memang payah dipisahkan dengan corak dan lakaran. Saya ada melihat gambar peragaan fesyen lakaran Nabilah. MasyaAllah, memang dia diberi bakat seni. Pesan saya, tukarkan kelebihan ini kepada manfaat buat agama.

Hari ini Nabilah sudah menjadi isteri orang. Alhamdulillah, saya gembira sekali. Saya ambil cuti kecemasan Jumaat lalu, semata-mata untuk meraikan hari bahagia Nabilah. Pagi sabtu, saya dan si kembar ke Masjid Al-Falah, melihat upacara pernikahan pengantin baru. Saya duduk hampir dengan Nabilah, tetapi tidak banyak bercakap. Sambil mendengar khutbah nikah, ingatan saya hilang ke beberapa tahun yang lepas. Cepatnya masa berlalu. Hari ini, Nabilah yang dahulu selalu comot tudungnya duduk sopan dan manis sekali. Usai nikah, Nabilah datang memeluk saya. Saya sedih dan gembira. Sedih kerana tidak mungkin saya dapat kembali ke waktu lalu. Gembira kerana kawan saya bahagia. Ada air mata tetapi saya tahan supaya tidak tumpah di hadapan si kembar.

“Terima kasih kau datang..”

“Mestila aku datang.. majlis kau kan..”

“Kau doakan aku ye..”

“Tentu..”

Hari ini saya sudah kembali ke kampus. Esok kerja dan tugasan saya belum selesai lagi. Sambil berehat saya buka album lama. Melihat gambar saya dan Nabilah di pantai semasa hari keluarga koperasi dahulu, saya sedih sendiri. Saya buka laptop dan menaip tulisan ini. Saya rindukan waktu dahulu. Di dalam hati, saya kirim doa buat pengantin baru. Semoga diberkati perkahwinan ini dan berkekalan sehingga ke syurga. Semoga diberikan anak-anak yang bukan sahaja mewarisi kecantikannya, tetapi diberikan anak-anak yang soleh dan solehah juga. Semoga perkahwinan ini adalah hikmah yang besar buat kedua-duanya, dan pintu kebaikan yang banyak buat Nabilah.

Kalau dahulu saya sentiasa bersedia mendengar bicaranya yang dengan air mata atau dengan tawa gembira, hari ini saya masih saya yang dahulu. Sentiasa mahu mendengar dan menenangkan. Sentiasa mahu bergembira dengan kebahagiaan teman. Kerana Allah, saya sangat menyayanginya!

Alhamdulillah. Diberi peluang merasai petang 1 Rejab tahun ini di Serdang. Kali terakhir dahulu semasa saya masih terlalu kecil. Darjah 1 di Sekolah Rendah Taman Universiti, Aiman pula belajar di Tadika An-Nur.  Teringat zaman kanak-kanak ketika Ramadhan di Sri Kembangan dahulu.  Beberapa hari sebelum puasa, saya dan Aiman sibuk merencana ‘misi rahsia’- beli coklat banyak-banyak dan simpan di beberapa tempat. Menjelang tengahari kami menyorok di bawah katil dan membuka plastik coklat senyap-senyap. Kalau tidak bernasib baik, kena tangkap dengan Cik Ayang.. siaplah kami kena ‘cuci’. Itu dahulu, Rejab dan Syaaban tidak ada beza dengan hari-hari lainnya. Hari ini Rejab ditunggu-tunggu, tanda Ramadhan akan menjengah tidak lama lagi.

Usai Asar saya termenung melihat tasik dari tingkap. Mengulang Rejab di sini, doa saya agar bertambah baik dari yang dahulunya. Cuaca panas terik dari tengahari tiba-tiba jadi suram, langit gelap sedikit dan ada rintik-rintik yang jatuh ke bumi. Satu, dua, tiga dan kemudian semakin banyak. Ada beberapa pelajar terkocoh mengangkat pakaian di jemuran. Hujan. Rahmat di petang Rejab. Seluruh alam bersyukur dan bergembira. Semoga semua menemukan kebaikan yang banyak dalam bulan-bulan berkat ini.

اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان

”Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”

“Hei..”
“Hei.”
“Lama tak berkongsi di blog?”
“Oh..hm..”
“Kenapa?”
“Tak ada apa-apa.”
“Sibuk?”
“Ada ke orang yang tak sibuk?”
“Haha..Kenapa?”
“Haha.. sebab aku kata nak kongsi hikmah..”
“Ok..”
“Jarang manusia nampak hikmah masa ujian tu datang..Selalunya hilang mendung barulah kita sedar Allah nak berikan hujan dengan kebaikannya. Ujian selesai barulah nak sangka baik dengan Allah.”
“Kau ni cakap pasal kau ke? Ada masalah ke?”
“Aku cakap pasal manusia. Aku bukan manusia ke?”
“Pergh.. kene smash balik..”
“Haha..”
“Hm..kenapa mesti tentang hikmah?”
“Hikmah tu apa?”
“Erk..”
“Ha.. tulah.. main tebak je. Cakap dengan aku mesti pegang satu kamus lain kali tau.”
“Yela.. yela.. aku carik satu kamus poket nanti..”
“Haha..guraula..Hikmah tu kebijaksanaan Allah. Bukan kepandaian manusia. Kerja kita, cari kebijaksanaan Allah dalam setiap kejadian.Bukan memandai-mandai menghukum tak tahu hujung pangkal.”
“Aku ingat dah. Orang yang mencari hikmah akan diberi hikmah juga!”
“Yup.Markah penuh!”
“Laparnye.. jom makan pizza?”
“Pizza Hut ke? TAK BOLEH!!”
“Aiseh lupe pulak aku.. cari penyakit ajak engkau..”
“Jom kita cari kamus poket?”
“Serius? Taknak…”
“Haha..”

Orang yang mencari hikmah ialah orang yang tidak pernah dan tidak akan kalah. Kerana sangka baik hamba kepada Tuhannya itu kekuatan yang mendorongnya jauh dari dalam. Tak terkalahkan, tak terpesongkan, dengan apa, dan siapa pun.

Si Ranting yang Bercerita

Info Zooxanthellae

Zooxanthellae adalah nama yang diberi kepada gugusan alga dari genus Symbiodinium. Gugusan alga ini telah diciptakan sangat berbeza antara satu dengan lain. Atas nama hubungan yang saling bergantung dan menguntungkan, mereka telah Allah susunkan untuk tetap berkongsi bentuk sferikal yang sama bagi membolehkannya hidup di dalam karang bersama hidupan marin yang lain. Sebagai sel tumbuhan, zooxanthellae memerangkap cahaya matahari semasa proses fotosistesis. Sementelah hidup di atas terumbu karang, zooxanthellae disediakan ‘rumah yang selesa’ dengan perlindungan dan bekalan karbon dioksida yang dibebaskan oleh terumbu karang. Sebagai balasan pula, terumbu karang dibantu ‘bernafas’ dan diberi ‘makan’ oleh zooxanthellae dari produk fotosintesisnya.
Rupanya, selain sebagai pelengkap ekosistem marin, Allah menciptakan makhluk ajaib ini untuk menambah indah dasar lautan. Terumbu karang berwarna menakjubkan kerana adanya zooxanthellae yang hidup secara simbiosis pada karang. Oksigen yang dihasilkan daripada fotosistesis zooxanthellae dan rumpai laut menyumbang jasa yang besar untuk kemandirian darat.
Hari ini dasar laut tidak ceria lagi. Terumbu karang bersedih dengan luntur warna indahnya. Zooxanthellae semakin hilang dek tekanan seperti tumpahan minyak dan pemanasan global. Hubungan sejak 200 juta tahun yang lalu antara zooxanthellae dan karang telah dipaksa cerai oleh manusia yang tiada akal. Tidak mustahil suatu hari nanti, terumbu karang nan indah langsung pupus dari ekologinya lalu meninggalkan sumpahan zooxanthellae yang menakutkan buat kita semua!

Koleksi

Kalendar

Jun 2010
I S R K J S A
« Mei   Ogo »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
282930  

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.