Alhamdulillah. Diberi peluang merasai petang 1 Rejab tahun ini di Serdang. Kali terakhir dahulu semasa saya masih terlalu kecil. Darjah 1 di Sekolah Rendah Taman Universiti, Aiman pula belajar di Tadika An-Nur.  Teringat zaman kanak-kanak ketika Ramadhan di Sri Kembangan dahulu.  Beberapa hari sebelum puasa, saya dan Aiman sibuk merencana ‘misi rahsia’- beli coklat banyak-banyak dan simpan di beberapa tempat. Menjelang tengahari kami menyorok di bawah katil dan membuka plastik coklat senyap-senyap. Kalau tidak bernasib baik, kena tangkap dengan Cik Ayang.. siaplah kami kena ‘cuci’. Itu dahulu, Rejab dan Syaaban tidak ada beza dengan hari-hari lainnya. Hari ini Rejab ditunggu-tunggu, tanda Ramadhan akan menjengah tidak lama lagi.

Usai Asar saya termenung melihat tasik dari tingkap. Mengulang Rejab di sini, doa saya agar bertambah baik dari yang dahulunya. Cuaca panas terik dari tengahari tiba-tiba jadi suram, langit gelap sedikit dan ada rintik-rintik yang jatuh ke bumi. Satu, dua, tiga dan kemudian semakin banyak. Ada beberapa pelajar terkocoh mengangkat pakaian di jemuran. Hujan. Rahmat di petang Rejab. Seluruh alam bersyukur dan bergembira. Semoga semua menemukan kebaikan yang banyak dalam bulan-bulan berkat ini.

اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان

”Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”