Coret ini tentang Nabilah, teman saya sejak sekolah rendah. Zaman kecil saya tidak diwarnai dengan kawan yang bermacam-macam kerana saya tidak punya ramai kawan. Sedikit yang saya akrab dengan mereka, dan sedikit itulah yang berkekalan hingga ke hari ini. Salah seorang, Nabilah.

Terdapat sedikit manusia di dunia ini, selain keluargamu, yang kamu beroleh daripada mereka cinta tanpa syarat.

Nabilah gadis cantik. Kacukan Pakistan dan Jawa, peramah dan mudah tersenyum membuatkan dia mudah didekati orang. Kelebihan itu juga membuatkan ramai yang dengki dan iri hati dengannya. Di atas semua kelebihan itu, pada saya Nabilah ialah gadis baik. Saya menghabiskan hampir sebahagian besar usia belasan tahun bersama Nabilah. Kami tinggal berdekatan dan bersekolah di sekolah yang sama. Tentu sahaja kami saling berkunjung, ke rumah saya atau ke rumahnya. Di sekolah, kami menyertai hampir semua  aktiviti bersama. Banyak kenangan saya dengan teman yang seorang ini di rata-rata tempat di sekolah. Watak keras saya selalu dilembutkan dengan sifat keanak-anakan Nabilah. Selalu dimarahi saya, tetapi dia bijak memancing lucu dan menukar suasana tegang. Paling teruk yang saya boleh ingat, ketika Nabilah datang ke rumah saya usai sekolah pada satu hari. Dia bawa bersama beberapa tangkai mawar merah mahu memujuk marah saya. Apa yang saya amukkan tidak pula saya ingat. Saya terlalu marah dan berkeras tidak mahu berjumpa. Nabilah pujuk Fakhruddin supaya memanggil saya keluar. Sudahnya saya keluar dan menghambur marah kepada Nabilah. Haha.. kasihan.. saya suruh Nabilah pulang dan bawa sekali bunga-bunganya. Lewat petang marah saya sudah reda, saya pula ke rumahnya. Sengih besar-besar, saya minta semula bunga yang dia mahu berikan tadi.

“Eleh.. tadi sombong sangat.. nah ambik satu je. .”

“Satu pun takpe.. terima kasih ye.”

“Aku mintak maaf tau”

“Aku pun.. lain kali kalau kau tengok aku tengah marah, tak payah nak senyum-senyum bawak bunga ke pokok ke. Duduk je jauh-jauh. Pandaila aku sejuk sendiri  lepas tu cari kau balik..Kau tahu aku macam mana kan?”. Tersenyum dan kemudian kami ketawa bersama.

Saya bangga (bersyukur sebenarnya) untuk mengatakan saya seorang yang kreatif. Tentunya ia dipupuk dari persekitaran. Gurunya? Emak dan Nabilah. Mengitar semula kertas-kertas untuk dijadikan kad ialah kepakaran kawan saya yang seorang ini. Semasa di tingkatan lima, saya dan Nabilah mengambil subjek tambahan Pendidikan Seni Visual dan Reka Cipta. Seronok mengingatkan masa-masa bersama, berlatih melukis, menyiapkan folio dan mencipta ukiran kayu. Satu petang, saya dan Nabilah ke padang masjid dengan buku lukisan, pensel dan sedikit warna. Kami duduk bersila menghadap beberapa biji buah kelapa dan melakar. Sambil bercerita, berkongsi rahsia dan jenaka.

Selepas SPM, saya ke Melaka menyudahkan matrikulasi, Nabilah ke politeknik mengambil jurusan fesyen. Kalau sudah memang orang seni, memang payah dipisahkan dengan corak dan lakaran. Saya ada melihat gambar peragaan fesyen lakaran Nabilah. MasyaAllah, memang dia diberi bakat seni. Pesan saya, tukarkan kelebihan ini kepada manfaat buat agama.

Hari ini Nabilah sudah menjadi isteri orang. Alhamdulillah, saya gembira sekali. Saya ambil cuti kecemasan Jumaat lalu, semata-mata untuk meraikan hari bahagia Nabilah. Pagi sabtu, saya dan si kembar ke Masjid Al-Falah, melihat upacara pernikahan pengantin baru. Saya duduk hampir dengan Nabilah, tetapi tidak banyak bercakap. Sambil mendengar khutbah nikah, ingatan saya hilang ke beberapa tahun yang lepas. Cepatnya masa berlalu. Hari ini, Nabilah yang dahulu selalu comot tudungnya duduk sopan dan manis sekali. Usai nikah, Nabilah datang memeluk saya. Saya sedih dan gembira. Sedih kerana tidak mungkin saya dapat kembali ke waktu lalu. Gembira kerana kawan saya bahagia. Ada air mata tetapi saya tahan supaya tidak tumpah di hadapan si kembar.

“Terima kasih kau datang..”

“Mestila aku datang.. majlis kau kan..”

“Kau doakan aku ye..”

“Tentu..”

Hari ini saya sudah kembali ke kampus. Esok kerja dan tugasan saya belum selesai lagi. Sambil berehat saya buka album lama. Melihat gambar saya dan Nabilah di pantai semasa hari keluarga koperasi dahulu, saya sedih sendiri. Saya buka laptop dan menaip tulisan ini. Saya rindukan waktu dahulu. Di dalam hati, saya kirim doa buat pengantin baru. Semoga diberkati perkahwinan ini dan berkekalan sehingga ke syurga. Semoga diberikan anak-anak yang bukan sahaja mewarisi kecantikannya, tetapi diberikan anak-anak yang soleh dan solehah juga. Semoga perkahwinan ini adalah hikmah yang besar buat kedua-duanya, dan pintu kebaikan yang banyak buat Nabilah.

Kalau dahulu saya sentiasa bersedia mendengar bicaranya yang dengan air mata atau dengan tawa gembira, hari ini saya masih saya yang dahulu. Sentiasa mahu mendengar dan menenangkan. Sentiasa mahu bergembira dengan kebahagiaan teman. Kerana Allah, saya sangat menyayanginya!