Usrah mingguan semalam, kami belajar surah Al-Haqqah. Tentang kedashatan gegaran hari qiamat. Kalimah الْحَاقَّةُ bermaksud saat atau ketetapan yang pasti berlaku. Tidak boleh tidak. Itulah hari penggulungan alam dan penutupan semua kehidupan. Hari qiamat. Itulah hari di mana kita akan saling kehilangan. Kak Ji bercerita tentang ‘qiamat olok-olok’ di dalam filem 2012. Kata Kak Jie, orang- orang yang berkuasa dan berpengaruh tidak aci kerana mendapat perlindungan istimewa semasa bumi ‘mengamuk’. Saya ada menonton filem itu di rumah. Entah CD siapa (Syarifuddin barangkali) yang saya temui semasa mengemas rak buku di rumah, saya tonton dengan si kembar. Saya jadi gerun melihatkan ombak besar tsunami menggulung tanah dan segala isinya, malah Dr Satnam Tsurutani yang berjasa mengesan perubahan besar bumi itu turut di telan sekali. Roland Emmerich mungkin cuba melampu besarkan kemusnahan yang berlaku disebabkan ‘penstrukturan’ semula bumi di atas fakta peningkatan suhu di dalam bumi dan pergerakan plat bumi pada skala yang menakutkan. Mungkin kerana itu terdapat sekelompok manusia dan haiwan dapat diselamatkan di dalam sebuah kapal yang mega besarnya. Saya mahu mengatakan bahawa filem ini bukan fiksyen ‘bodoh-bodoh’ atau imaginasi kosong semata-mata. Ia ditulis hasil kajian peristiwa Nabi Nuh yang membina sebuah bahtera besar buat perlindungan orang-orang yang beriman dan binatang diselamatkan berpasang-pasangan (Haha..anehnya kufar, dalam menidakkan masih tetap mengkomersialkan hari qiamat). Namun saya tidak mahu mengupas tentang gimik baik Presiden US yang sanggup mati bersama rakyatnya atau ketepatan fakta di dalam filem atau kecanggihan alatan dan teknologi yang dipaparkan.Saya lebih bermaksud untuk membandingkan qiamat 2012 dengan apa yang dikisahkan tentang qiamat di dalam Al Quran.

Alam kita adalah satu sistem yang tertutup. Bumi dan isinya adalah satu model besar yang saling melengkapi dan memerlukan. Bukan itu sahaja, kita malah berhubung dengan planet lain di dalam sistem suria kita, bahkan dengan semua objek di dalam jutaan galaksi di angkasa. Usah pergi terlalu jauh, lihat di bumi dahulu. Cuba kamu berdiri di luar, perhatikan apa yang berada di antara kaki dan kepala kamu? Tanah yang kamu pijak dan tentu, langit yang membumbungi. Langit yang melindungi. Qiamat yang dicipta manusia barat di dalam 2012 terlupa bahawa langit tidak mungkin seteguh yang digambarkan saat berlakunya qiamat.

Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup sangkakala dengan sekali tiup. Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur. Maka pada saat itu berlakulah hari qiamat. Dan terbelahlah langit, lalu jadilah ia pada waktu itu reput (runtuh). (Al Haqqah 69: 13-16)

Apabila matahari digulung. Dan apabila bintang-bintang berjatuhan. Apabila gunung-gunung dihancurkan. Dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan (tidak dipedulikan). Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan. Dan apabila lautan dipanaskan. Dan apabila roh-roh dipertemukan dengan tubuh. Apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya. Kerana dosa apakah dia dibunuh? Dan apabila catatan-catatan (amal perbuatan manusia) dibuka. Dan apabila langit dilenyapkan. Dan apabila neraka Jahim dinyalakan. Dan apabila syurga didekatkan. Maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan. (At-Takwir 81: 1-14)

Sesungguhnya hari keputusan adalah satu waktu yang ditetapkan. Iaitu hari ditiup sangka kala lalu kamu datang berkelompok-kelompok. Dan dibukalah langit, maka terdapatlah beberapa pintu. Dan dijadikan gunung-gunung maka menjadi fatamorganalah ia. (An-Naba’ 78: 17-20)

Langit yang kukuh melindungi kita hari ini nanti akan terbelah, reput dan runtuh. Pada hari tu adakah kapal besar yang mungkin melindungi manusia seperti di dalam 2012? Adakah besi atau apa sahaja yang boleh memelihara manusia daripada hentaman entiti semesta yang kucar-kacir? Manusia berfikiran waras yang membaca firman Allah berkenaan qiamat tidak mungkin akan tidak berasa takut. Tidak perlu untuk mengambil kelas metereologi untuk membayangkan kehancuran langit.  Ayat-ayat Allah sangat jelas dan manfaatnya hanya buat yang mahu berfikir.

Qiamat, hari yang pasti datang dan peristiwa yang mesti berlaku. Ia seolah-olah pintu yang menghubungkan dunia khayalan yang kita lalui sekarang ini dengan kehidupan yang kekal. Seperti pintu yang saat ia terbuka lalu mengejutkan semua yang di dalamnya. Terdapat beberapa surah di dalam Al Quran yang memberitahu tentang kedasyatan qiamat dan rententan peristiwa yang akan berlaku sesudahnya. Al-Haqqah, Al-Qariah, Al Qiamah, At-Takwir dan Al-Waqiah di antaranya. Surah-surah seperti ini diturunkan di Makkah dan dinamakan ayat-ayat Makiyyah. Mengapa? Kerana, di dalam konteks perbincangan ini, hari qiamat adalah perkara akidah yang wajib diyakini oleh manusia beriman. Ketakutan terhadap hari qiamat membawa kepada keyakinan tentang keesaan dan kekuasaan Allah yang mutlak. Seterusnya membuatkan manusia memikirkan hakikat kehidupan di akhirat yang tidak ada pilihan lain melainkan syurga atau neraka. Fitrah manusia sukakan ganjaran (dibayar gaji apabila bekerja, kanak-kanak diberi gula-gula apabila mendengar kata dan sebagainya) dan menolak kesakitan. Syurga ganjaran terbaik dan tidak ada kebaikan yang lebih baik sesudahnya, dan neraka adalah seburuk-buruk tempat kembali dan tidak ada yang lebih buruk daripadanya. Maka, ketakutan terhadap hari qiamat dan pembalasan mencipta keyakinan terhadap Allah lalu segera  menghalakan  mereka untuk mengharapkan balasan baik untuk kehidupan yang kekal. Syurga.

Apabila berlakunya saat itu, ketahuilah bahawa tidak ada guna pangkat ratu mulia, pemipin benua atau cendiakawan dunia. Semuanya akan mati  di dalam kehancuran semesta.