You are currently browsing the category archive for the ‘Ceritera’ category.

Sedang bermalas tadi di ruang tamu. Terpandangkan keratan akhbar ini. Tajuknya sahaja membuatkan saya menarik terus lembar akhbar nan sehelai untuk di baca. Hujan. Hujan itu kecintaan saya. Jadi di sini, saya kongsikan petikan bab ke 15 novel bersiri RICE WITHOUT RAIN.

DOA LAHIRKAN BAYI PEREMPUAN LALU HUJAN TIBA

Melalui bukaan rahim Dao yang terkoyak itu, kepala itu kelihatan amat besar, dan ia masih terus membesar. Ia bulat, padat, lalu menekan bahagian luarannya. Dak kemudian, tiba-tiba bayi itu mahu keluar, kepalanya seperti kubah dan ia keluar sepenuhnya, lehernya yang kecil mencelah antara kaki Dao seperti batang pokok. Sebelum Jinda dapat memegangnya, tubuh bayi itu menjalar keluar… dada, lengan dan kaki. Tubuhnya kurus, licin dan biru cair, seperti ikan keli melompat dari lopak lumpur. Jinda menyentuhnya. Ia hangat dan lembap. Rambut lembap rapat di dahinya, matanya terpejam, tangan kecilnya digenggam. Jinda puas memandangnya yang seperti pejuang. Dengan kekok dia menyerahkannya kepada Dao, tangannya menopang bahagian punggung yang licin, lembap.

“Anak perempuan,” Jinda mendengar suara neneknya memberitahu Dao.

Dia melihat makhluk di tangannya. Ya, anak itu telah menjadi replika kecil daripada ibunya, lengkap dengan tubuh berlipat seperti kelopak bunga yang baru saja dipetiknya. Jinda gembira bayi itu perempuan.

Neneknya meramas perut Dao dengan urutan yang kuat bertenaga. Dao mengerang lalu tangannya menolak urutan wanita tua itu, tapi tolakannya lemah.. Ketika neneknya terus menekan, darah terus keluar. Dengan darah membuak, uri bertompok gelap itu keluar bersama, membentuk cairan di daun pisang itu.

Jinda sedar tangannya berlumuran darah. Dalam sekelip mata, gambaran pembunuhan siswa beramai-ramai meresap ke dalam fikiran Jinda. Tubuh-tubuh berlumuran darah – dimuatkan ke dalam ambulan-ambulan, pergelangan tangan terpotong menitiskan darah dari pokok asam jawa, dan sekarang tangannya sendiri berlumuran darah. Jinda melawan rasa meloya.

Wanita tua itu mengikat simpulan di sekeliling tali pusat, lalu menjauhkannya dari bayi itu. Tangan-tanganya yang berkerut itu menggigil dengan kuatnya.

 “Tolong aku potong ini,” kata nenek Jinda, lalu menyerahkan potongan buluh kepada Jinda.

Dia menunjukkan simpulan di tali pusat itu. Jinda merasakan bilah buluh runcing yang terpacak ditangannya. Dia pening ketika melihat semua itu dan bau darah.

“Saya…saya tak boleh…, katanya serak.

Dan bayi itu kemudian menangis. Ia adalah bunyi kejayaan, kekuatan dan kemanisan kepada nadi kehidupan. Ada darah kematian dan darah kehidupan, Jinda tiba-tiba menyedarinya. Dan darah di tangannya ini adalah darah kehidupan. Jinda menarik nafas panjang dan berasa lega. Tangannya memegang bilah buluh dan dia tidak menggigil lagi. Dengan pantas dia menunduk lalu memotong tali pusat yang masih mengalirkan darah Dao kepada anaknya. Pemotongan itu bersih dan lancar. Bayi itu meraung.

“Dengar teriakannya!” Jinda berkata kepada kakaknya.

Dao mendengar, tapi tidak kepada bayi itu. Dengan rasa terkejut, matanya terbuka luas penuh kehairanan, dia merenung jauh jendela yang terbuka. Ketika itu juga mendengarnya; ada bunyi laju, kuat di sekeliling mereka. Bumbung, dinding-dinding, dedaun di luar bergema dengan hentaman. Setiap sudut di bilik itu dipenuhi dengan bunyi hentaman itu. Dengan curiga, Jinda menahan nafasnya lalu menjengah ke luar tingkap.

 Hujan telah turun.

“Anak ini mengirim hujan ini,” kata Dao, sambil menyerahkan bayi itu dari lengannya. Jinda menyambut ciptaan kecil dan lembap itu dari pangkuan kakaknya. Bayi itu menangis, menggawang tangan kecilnya ke udara.

“Mandikan dia,” kata Dao dengan lembut.

 “Kami akan mandikan dia nanti, anakku,” kata neneknya.

“Kau baringlah. Berehatlah.”

“Tidak. Mandikan dia,” Dao mendesak.

“Sekarang, di dalam hujan.”

Lalu, Jinda memangku bayi itu dengan tangannya yang lembap, dengan berjengket dia berjalan ke luar. Angin kencang yang dingin bertiup di bawah tepi bumbung, lalu mengoyakkan cebisan-cebisan atap dengan tiupan itu. Jinda melangkah keluar dari teduhan tepi bumbung itu lalu menuju ke beranda yang terbuka, dan dia memeluk bayi itu erat kepadanya. Anak gadis kepada hujan, bisiknya perlahan, di sini… dongaklah ke langit. Air hujan itu hangat dan nyaman, menitik ke atas wajah Jinda dan ke atas bayi kecil itu. Dia melihat titisan-tisan hujan itu menitik mengenai kulitnya yang licin, lalu membilas tompokan darah.

Jinda duduk di bahagian atas tangga itu, memangku bayi dengan tangannya. Perlahan-lahan, air hujan bertakung dalam sarungnya. Dengan sebelah tangannya, dia memaut leher bayi itu dan sebelah tangan lagi dia mencedok air hujan dari pangkuannya untuk memandikan bayi itu. Orang kampung lainnya keluar dari rumah-rumah mereka, ketawa sambil memandang ke langit. Kanak-kanak bermain lumpur- keras, tanpa pakaian mereka berlari dengan berbogel dalam hujan panas, punggung mereka bertompok-tompok keperangan. Semua suri rumah mengeluarkan bakul-bakul anyaman berisi herba ke dalam hujan,manakala kaum lelaki menolak kendi-kendi kosong di bawah parit-parit buluh untuk menadah hujan dari atap-atap itu. Dan di suatu sudut laman, seorang lelaki tua berdiri keseorangan, mendongakkan wajahnya untuk merasai titisan-titisan hujan di atas lidahnya.

Jinda melihat mereka dengan rasa gembira sehinggakan takungan air di lengannya semakin pudar merahnya oleh kesan darah. Hujan turun semakin lebat, lalu dia terasa pedih di dahi dan pipinya. Bayi itu mula menangis.

“Berikannya kepadaku!” Nenek Jinda menyeru dari pintu.

Jinda naik, menyerah kembali bayi itu yang kini putih bersih, kepada neneknya.

“Dao dah baikkah?” Tanya Jinda ketika mereka bersama-sama membalut bayi itu dengan ketatnya bersama selendang lusuh berpetak yang bayi Oi gunakan tahun lalu.

“Dia sedang berehat,” kata neneknya.

“Jadi nenek tak perlukan apa-apa lagi?” Wanita tua itu tersenyum, menggelengkan kepalanya.

“Pergilah,” katanya.

“Pergilah berlari dalam hujan. Kalaulah aku boleh berjalan, aku pun akan keluar berlari juga!”

Wajah Jinda bersinar dengan senyuman, kemudian dia menuruni anak tangga di beranda lalu melepasi pagar buluh yang terkuak-kuak itu. Tanah menjadi lembut dan meninggalkan kesan jejak di bawah kakinya yang tidak berkasut. Betapa seronoknya dapat memijak lumpur sekali lagi!

Disepanjang lorong itu, angin bertambah keras. Deruan angin berhembus kencang lewat lengan-lengan Jinda, pedihnya seperti terkena tangkai padi yang panjang dan tajam. Dia melewati bunga raya, berlindung di situ, dan melihat dedaunnya memancarkan warna hijau cerah ketika hujan itu telah membuang segala lapisan debu tebal di situ. Beberapa kuntuman bunga bersinar, menjadi bersih merah menyala dicerahkan hujan.

Ketika berlarian di lorong itu, langkahan Jinda menjadi ringan dan tenggelam timbul ditelan lumpur-tanah becak. Dia dapat berasakan angin bertiup di wajahnya, menolak rambutnya kebelakang, menembusi bajunya yang nipis, lalu ia basah sehingga bajunya kelihatan seperti lapisan kulit yang kedua. Ribut itu telah menyebabkan wujudnya pergolakan. Angin kini bertiup keras sehinggakan pokok-pokok yang tumbuh di situ hampir tercabut akarnya. Ia bergoyang dengan liar sekali, pelepah palma melambai-lambai dan terbang ke langit. Dan ketika hujan turun lebat, ia jatuh ke tanah rata dari awan – langit terbentang luas.

Jinda masih berlari dalam ribut, meredah angin kencang, dan berasa hujan itu melencunkan bajunya sehingga ke kulitnya. Dia berlari sehingga di tepi tubuhnya tercedera, dan nafasnya jadi tercungap-cungap kesakitan. Dan ketika dia berlari, ada simpulan ketat, kering dalam tubuhnya mula terurai lalu terlepas, dan dia berasakan seolah-olah ada satu bebanan berat baru tercabut daripadanya. Desa itu teletak jauh di belakang. Di depannya ada sawah-sawah terbentang luas, sehingga ke kaki gunung-ganang itu. Bermandikan bayangan yang lembap, gunung-ganang itu kelihatan seperti pokok lavender yang besar. Ada beberapa orang petani yang telah keluar ke sawah, membawa kerbau-kerbau mereka mula membajak, dan beberapa orang wanita mengharung sawah separas lutut di batas sawah mereka, untuk meluruskan kedudukan anak-anak benih yang tertanam di dalam lumpur.

Doa Lahirkan Bayi Perempuan Lalu Hujan Tiba. Petikan daripada novel bersiri RICE WITHOUT RAIN. Tulisan Ming Fong Ho. Terjemahan Ali Bukhari Amir. FIKRAH, 28 Zulkaedah – 2 Zulhijjah 1430. Bahagian Sastera dan Budaya, Halaman F17.

Terjamahan Al Quran bersampul kulit berwarna hitam saya capai. Mencari terjemahan tentang ayat kejadian hujan dan berita gembira yang dibawa bersamanya. Tak berjumpa. Saya tanyakan abi, abi minta saya buka buku Zindani pula. Erk.. mana nak cari ni.. Lepas tu abi bagi dua surah ini bersama ayatnya. Alhamdulillah.

“Allah, Dia-lah yang mengirim angin lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendakiNya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila hujan itu turn mengenai hamba-hambaNya yang dikehendakinya, tiba-tiba mereka menjadi gembira. Dan sesungguhnya sebelum hujan diturunkan kepada mereka, mereka benar-benar telah berputus asa.” ( Ar-Rum 30: 48-49)

“Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya (hujan); hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran.” ( Al-A’raf 7: 57)

Hujan memberi gembira kepada Dao, Jinda dan orang desa seluruhnya. Sehingga bayi Dao dipanggil Jinda sebagai anak gadis kepada hujan. Begitu sekali gembira manusia menerima hujan. Hujan itu rahmat kata Allah. Dan diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Saya senang mengatakan bahawa hidayah Allah itu cahaya, dan datangnya seperti hujan. Menimpakan sesiapa yang dipilihNya. Datangnya tak boleh di tahan atau di pujuk rayu. Bila ia datang, kita suka untuk menerima atau sakit dipaksakan, kita akan ditimpakan juga.

Saya mahu berkongsi sebuah cerpen menarik dari majalah ANIS keluaran Ogos 2006. Tulisan saudara Fahd Razy. Temui nilai tawakal yang hebat di dalamnya. Selamat membaca!

Cinta seperti hujan yang berkunjung renyai-renyai dalam kebun hidupnya. Sungguh wajah Ibrahim seperti awan rendah yang meneduhkan. Dia suka memandang wajah itu, setiap hari dan saban malam. Tak pernah jemu, kerana wajah itulah yang tak putus-putus menghantar kedinginan dan keredupan, hujan cinta yang renyai-renyai. Wajah itu adalah cinta tak berbelah bahaginya.
Dia tidak punya harta yang banyak, juga pendidikannya hanya cukup sekadar membolehkan dia membaca dan mengaji dengan fasih. Dia lahir tidak sempat mengingat wajah abah dan umi. Bahkan dia tidak mengenali mereka, hanya beberapa orang penjaga dan teman-teman segelanggang di rumah kebajikan anak-anak yatim. Harta yang dia ada, cumalah cinta yang menyala-nyala itu. Cinta kepada Tuhan yang Maha Pengasih, cinta kepada rasul yang mengasihi, juga cinta kepada kekasihnya, Ibrahim. Suami yang tercinta, yang mengajar dia mengenal makna cinta itu, berlapis-lapis, dan dalam sekali.
“Keimanan itu bukan sekadar ikrar dengan lisan dan bukti melalui perbuatan, tetapi juga hati yang yakin dan mencintai,” pesan Ibrahim.
Dia cintakan suara itu. Tiap malam sesudah Maghrib, Ibrahim bersila di hadapannya. Sederhana, berbaju Melayu dan berkopiah putih. Bauan harum yang dipakai suaminya semerbak sekali membuatkan dia tenteram dan bahagia. Lalu mereka sama-sama menekuni kitab Allah dengan khusyuk dan kerendahan. Helaian demi helaian. Ibrahim mengajarnya pelbagai perkara, tentang langit dan bumi, tentang kelahiran dan kematian, tentang manusia dan hati. Juga tentang kiah para nabi dan rasul yang gemar didengarinya. Dia ralit mendengar kisah Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah berkali-kali, berulang-ulang. Seperti seorang kanak-kanak, dia akan duduk diam di hadapan Ibrahim dengan senyuman manja sambil mendengar setiap satu kata yang diucapkan Ibrahim. Kadang-kala diulangnya suara Ibrahim, sehingga suaminya turut tersenyum. Alangkah, cintanya menyala-nyala; tidak membakar tetapi mendinginkan.
“Sekarang baru kau tahu,Ibrahim. Bersungguh-sungguh sangat hendakkan dia. Sekarang lihatlah, kau sudah tidak ada generasi untuk menyambung keturunan kau. Ini semua salah anak yatim tu.”
“Ya Allah. Jangan cakap begitu Kak Senah. Siapa sangka, mungkin saya sendiri kurang upaya. Rezeki itu di tangan Tuhan. Diberi dan diambil atas iradat-Nya.”
Ibrahim mengajarnya tentang keyakinan itu. Penyerahan dan kesabaran itu adalah kecintaan yang gagah, yang tulus buat Tuhan.
Dia cintakan Ibrahim, juga Ibrahim sangat mencintainya. Itu yang dibisikkan Ibrahim tiap-tiap pagi ketika dahinya dikucup sebelum Ibrahim berangkat ke tempat kerja. Seperti dituangkan air yang dingin, dia merasai kasih sayang Ibrahim mengalir ke seluruh tubuhnya, seluruh hati dan jiwa raganya. Lalu tumbuh sepohon yang rendang, di situlah dia tumpang bernaung dari kepanasan dunia yang semakin melemaskan. Alangkah tulusnya.
Ibrahimlah yang membawa dia ke dunia yang serba cukup ini. Dia tidak mahu rumah mewah, atau kereta besar, atau barangan kemas yang membukit kerana dia sedar itu semua bukanlah rezekinya yang selayak untuknya. Dia hanya mahu merasai nikmat kasih sayang, memiliki keluarga dan insan untuk dicurahkan isi jiwa wanitanya. Terlalu lama dia kekontangan itu semua, ibu bapanya meninggal sejak dia kecil lagi. Rumahnya hangus dalam kebakaran besar-besaran di kampung, menelan seluruh cinta yang ada. Kakak sulungnya turut terkorban. Tinggal dia sendirian yang Tuhan panjangkan nyawa. “Bersyukurlah kepada-Nya atas nikmat usia ini. Ajal dan maut ditentukan sejak azali lagi. Begitu jugalah kita dijodohkan hari ini, atas kasih Tuhan,” pesan Ibrahim penuh cinta.
Rindunya hanya pada suaminya, tumpah melimpah-limpah. Itulah amanah yang ditetapkan oleh Tuhan buatnya.
“Tak mungkin salah kau pula, kau tu lelaki Ibrahim. Kau perasan tak sejak dia masuk ‘operate’ dulu, kau dengan dia sudah tidak menjadi? Mesti ada masalah dengan dia. Dia sudah tidak subur lagi tu.”
“Itulah silapnya Kak Senah, orang Melayu ni. Asalkan tak ada rezeki saja, disalahkan orang perempuan. Apa-apa pun dituduhnya orang perempuan. Kak Senah tahu, dari kajian perubatan, masalah ini 40 peratus berpunca dari pihak lelaki, 40 peratus dari pihak perempuan. Selebihnya berpunca dari kedua-dua pihak. Paling utama, itu semuakan aturan Tuhan”Ibrahim hanya tersenyum melayan karenah kakak tunggalnya itu.
Lagipun Kak Senah, operation yang dijalani isteri saya tu, tak sepatutnya menjejaskan kesuburannya itu. Dia masih berupaya melahirkan seperti-seperti sebelumnya.” Kak Senah hanya mencebik muka masam.
Kadang-kala dia juga mengenang sendirian, layakkah dia untuk menelan segenap cinta yang Ibrahim curahkan itu. Dia bukanlah jodoh yang terbaik buat Ibrahim. Ibrahim seorang pakar perubatan kanak-kanak, paediatrician, juga lepasan luar negara. Berpendidikan tinggi, berkelulusan tinggi, juga punya maruah dan martabat yang tinggi.
Dia bukanlah segagah Sarah, wanita terbaik buat menggalas cinta Ibrahim. Malam itu perjalanan takdirnya telah dibuka oleh Tuhan seluas-luasnya. “Ini ujian Tuhan buat kita yang lemah,” pesan Ibrahim sentiasa.
“Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, Dia memberikan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan ( kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa ( Asy Syuura:49-50)”
“Ibrahim, isteri kau mengalami ectopic pregnancy di Tiub Fallopio kanannya. Dia sudah mengalami rupture dan pendarahan serius selama beberapa jam yang lepas, salpingectomy harus disegerakan!”
Ibrahim hanya akur. Dia sebagai salah seorang pakar perubatan yang penuh pengalaman sangat mengerti akan situasi yang dihadapkan padanya detik itu. Pendarahan akibat ectopic pregnancy terlalu besar kemungkinan untuk meragut nyawa isterinya. Bila-bila masa sahaja! Wajah isterinya yang pucat ditenung dengan senyuman yang kelat. Sebelum disorong ke bilik bedah, Ibrahim sempat mengucup dahi isterinya-ada doa di dalamnya dingin meresap jauh ke naburi isterinya.
Mujur saja sebenarnya Ibrahim seorang yang cekap. Beberapa jam sebelum itu, isterinya telah disyaki menghidap appendicytis setelah mengadu sakit-sakit di kanan perutnya, bahkan hampir saja di hantar ke Operation Theatre untuk dijalankan appendectomy. Tetapi Ibrahim mencegah, aduan isterinya beberapa hari lalu tentang kitar haid yang sudah terganggu selama 6 minggu menyebabkan dia menangguhkan pembuangan appendix isterinya. Alangkah, tindakan Ibrahim itu sungguh berbaloi.
“Saya mahu dia diperiksa sekali lagi, dengan transvagial Ultrasound Scan! Saya rasa ini bukan appendycitis,” arah Ibrahim kepada doktor yang bertugas malam itu.
Ibrahim menanti, hatinya tawakal bahawa Tuhanlah pemilik segala cinta.
“(Tetapi mereka tidak mahu makan), kerana itu Ibrahim merasa takut terhadap mereka. Mereka berkata ‘Janganlah kamu takut’. Dan mereka memberi khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang alim (Ishak). Kemudian isterinya datang memekik (tercengan) lalu menepuk mukanya sendiri seraya berkata: ‘Aku adalah peremuan tua yang mandul.’ Mereka berkata:’Demikianlah TuhanMu menfirmankan ‘sesungguhnya Dialah Yang Maha Bijiaksana lagi Maha Mengetahui. (Adz-Dzaariyat :28-30)”
Terlalu lama mereka bersama dan dia sungguh-sungguh dapat membaca keresahan hati suaminya. Dialah yang mengubat sepi Ibrahim selama ini. Dia tahu Ibrahim juga terlalu merindukan zuriat untuk menyambung legasi dan keturunannya. Ibrahim amat menghasratkan suara kanak-kanak dapat memeriahkan rumah mereka yang sederhana itu. Cahaya mata yang menjadi tanda dan anugerah buat cinta yang menyatukan mereka. Cinta yang menyala-nyala. Kerana naluri cintanya kepada kanak-kanak jugalah brahim menjadi paeditrician.
Lalu dia sering menyalahkan dirinya. Kata-kata Kak Senah kadang-kadang menghantukkan jiwa wanitanya. Alangkah dia mahu jadi setabah Sarah, tidak pernah putus mendedikasikan ketaatan dan kekuatan buat Ibrahim terus berdiri. Saban malam dia memanjatkan seribu doa buat Tuhan agar dipinjamkan sedikit jiwa wanita terpuji itu- agar dia menjadi seorang Sarah buat Ibrahim.
“Cuba kita renungkan betapa kekuasaan Tuhan yang menciptakan Adam. Juga kelahiran Isa yang tidak berbapa dari seorang wanita solehah bernama Maryam,” kata Ibrahim sambil bersila di hadapannya sesudah Maghrib. Sederhana, berbaju Melayu dan berkopiah putih.
“Jadi tidak mustahil juga Allah yang Maha Penyayang menganugerahkan zuriat kepada nabi Ibrahim dan isterinya Sarah, serta kepada nabi Zakaria dan isterinya, Ishba, walaupun mereka dalam usia yang sudah lanjut. Merekalah insan-insan yang diceritakan dalam Al-Quran, yang telah Tuhan uji dengan tanpa mendapat zuriat.”
“Tentu lama mereka terpaksa menanti sebelum kelahiran zuriat pertama itu, kan abang?”
“Kesabaran dan keyakinanlah yang menggagahkan merka. Kecintaan mereka pada Tuhan tidak akan pernah dilupakan oleh Pencipta Seluruh Alam, lantas kerana kekuatan mereka itu, Tuhan bukan sahaja menganugerahkan anak, tetapi zuriat yang bakal menjadi keturunan yang soleh dan mulia, termasuklah para rasul dan nabi. Moga-moga Tuhan juga mengizinkan zuriat yang baik dan soleh buat kita,” ujar Ibrahim lagi sambil tersenyum. Senyuman itulah yang dia simpan saban hati, setiap malam untuk mengubat luka dan kecewanya.
Pernah juga suatu haru rakannya, yang juga rakan sekerja Ibrahim mencadangkan keadah reproduktif alternatif kepada mereka. Dia sendiri sudah jenuh memujuk Ibrahim agar menerima kaedah persenyawaan in vitro (IVF) dan artificial insemination(AI). Kata rakannya, kaedah itu halal selagi menggunakan benih dari kedua-dua suami dan isteri dalam tempoh perkahwinan yang sah. Tetapi Ibrahim terlalu tegas menolak.
Ibrahim tidak mahu mendapat zuriat dengan kaedah tersebut. Masih belum tiba masanya, kata suaminya.
Dia terlalu cintakan Ibrahim, namun hati wanitanya kadang kala bergetar juga. Dia bukannya Sarah, juga bukanlah Ishba yang gagah. Kekurangan dirinya selalu menakutkan tatkala dia melayan perasaan yang sering resah. Dia bimbang jika cintanya yang satu ini dibawa pergi oleh Ibrahim, meninggalkan dia kembali seperti mana dia suatu ketika dahulu. Dia takut api cintanya yang menyala itu terpadam. Lalu dia beristikharah pada Tuhan, memohon petunjuk dan kegagahan. Dengan seribu upaya, dan sejuta air mata dia membulatkan cintanya! Pengorbanan harus dibuat.
“Tidak!Jangan cakap begitu lagi. Bersabar dan yakinlah, seperti yakinnya Sarah dan Ibrahim,” suara suaminya mula keras.
“Tapi abang, Sarah juga merelakan suaminya mengahwini Hajar lantas berkat perkahwinan itu mereka dikurniakan Ismail oleh Tuhan. Izinkan saya menjadi Sarah buat abang. Saya tak sanggup lagi melihat hasrat yang telah lama abang simpan itu jadi angan-angan kerana kekurangan saya ini.”
“Rezeki dan jodoh kita telah ditentukan. Ketika Tuhan menyelamatkan kamu sewaktu mengalami pendarahan di dalam rahim kerana ectopic pregnancy dulu merupakan rezeki yang tak terhingga untuk abang. Sehingga kini abang tak terbalas cinta Tuhan kepada kita. Itu sudah memadai.” Sungguh-sungguh senyuman Ibrahim itu selalu sahaja membuatkan dia kelu. Dia tewas.
Namun dia tidak pernah putus asa. Kadang-kala dia meminta pertolongan Kak Senah untuk meyakinkan Ibrahim yang tegas itu. Tiada masalah bagi Kak Senah. Kak Senah cukup suka jika Ibrahim berkahwin seorang lagi. Sebelum Ibrahim melamarnya, keluarga Ibrahim pernah mahu menjodohkannya dengan anak gadis ketua kampungnya. Semestinya tindakan Ibrahim mengahwini dirinya, seorang gadis yatim yang sekadar bekerja sebagai pembantu di rumah kebajikan bukanlah sesuatu yang diharapkan oleh keluarga Ibrahim yang besar itu.
Usaha Kak Senah juga tidak mendapat hasil yang memuaskan, bahkan Ibrahim dengan tenang dan tersenyum memberikan pelbagai alasan. Tentang kerjayanya yang semakin sibuk, tentang gajinya yang tak seberapa, dan bermacam lagi. Masakan Ibrahim mampu melayan dua orang isteri. Namun dalam hati dia tahu Ibrahim Cuma berdalih, tidak disangka begitu kejap setia Ibrahim, sehinggakan dia acapkali menangis terharu. Begitu besar kasih yang dicurahkan Ibrahim demi membahagiakannya, namun dia tidak dapat memberikan Ibrahim sebarang zuriat meskipun sudah hampir 8 tahun mereka bersama. Alangkah hati wanitanya pecah.
“Bersyukurlah dengan rezeki yang Tuhan perkenankan untuk kita. Anak-anak itu rezeki, tetapi usia juga rezeki, bahkan iman dan Islam yang tertanam di dada ini adalah rezeki tak terhinggan buat kita.”
Lalu Ibrahim menceritakan pula kisah nabi Ayub yang mulia, tentang Tuhan yang menguji baginda dengan penyakit. Segala nikmat harta, ladang-ladang dan anak-anak ditarik Tuhan lalu baginda bersabar tanpa kesal dan kesah.
“Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya: ‘(Ya Tuhanku),sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.’Maka Kamipun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipatgandakan bilangan mereka, sebagai satu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah. (Al Anbiyaa:82-84)”
Cintanya masih menyala-nyala; tidak membakar tetapi mendinginkan. Seperti Sarah dan Ibrahim, di antara mereka adalah keyakinan dan kesabaran. Ibrahim bukan sahaja suami, malah guru dan cintanya.
Cinta Tuhan, adalah cinta yang tak terjangkau. Dia sujud dengan sejuta penyerahan.
“Ibrahim!Isteri kau pitam tadi! Kami baru balik dari klinik.”
“Ha?!Kenapa Kak Senah?Apa dah jadi?”gagang telefon dipegang erat. Cemas tiba-tiba berleluasa.
“Tahniah Ibrahim!”
“Kenapa Kak Senah? Isteri saya macam mana?”
“ Dia sihat. Ibrahim, mulai dari hari ni kau jangan biarkan dia buat kerja rumah berat-berat lagi! Dia kena banyakkan rehat. Alhamdulillah, rezeki kamu berdua telah diperkenankan Tuhan setelah lama menanti, sudah 7 minggu dia mengandung,” Kak Senah mengusik sambil ketawa kecil.
Ibrahim terdiam, dalam senyum itu ada syukur yang tumbuh berkuntum-kuntum. Di dalam rahim isterinya kini semakin sejuk sesudah sekian lama, diisi dengan sedingin cinta Ibrahim.
“ Dan Kami telah memberikan kepadanya (Ibrahim) Ishak dan Yaakub, sebagai satu anugerah (daripada Kami). Dan masing-masing Kami jadikan orang-orang yang soleh. (Al Anbiyaa’ :72 )
Alangkah, Dia yang Maha Menganugerah, pemilik segala Cinta, pemilik segala Rahsia.

Oleh: Fahd Razy. Majalah ANIS Ogos 2006.

Si Ranting yang Bercerita

Info Zooxanthellae

Zooxanthellae adalah nama yang diberi kepada gugusan alga dari genus Symbiodinium. Gugusan alga ini telah diciptakan sangat berbeza antara satu dengan lain. Atas nama hubungan yang saling bergantung dan menguntungkan, mereka telah Allah susunkan untuk tetap berkongsi bentuk sferikal yang sama bagi membolehkannya hidup di dalam karang bersama hidupan marin yang lain. Sebagai sel tumbuhan, zooxanthellae memerangkap cahaya matahari semasa proses fotosistesis. Sementelah hidup di atas terumbu karang, zooxanthellae disediakan ‘rumah yang selesa’ dengan perlindungan dan bekalan karbon dioksida yang dibebaskan oleh terumbu karang. Sebagai balasan pula, terumbu karang dibantu ‘bernafas’ dan diberi ‘makan’ oleh zooxanthellae dari produk fotosintesisnya.
Rupanya, selain sebagai pelengkap ekosistem marin, Allah menciptakan makhluk ajaib ini untuk menambah indah dasar lautan. Terumbu karang berwarna menakjubkan kerana adanya zooxanthellae yang hidup secara simbiosis pada karang. Oksigen yang dihasilkan daripada fotosistesis zooxanthellae dan rumpai laut menyumbang jasa yang besar untuk kemandirian darat.
Hari ini dasar laut tidak ceria lagi. Terumbu karang bersedih dengan luntur warna indahnya. Zooxanthellae semakin hilang dek tekanan seperti tumpahan minyak dan pemanasan global. Hubungan sejak 200 juta tahun yang lalu antara zooxanthellae dan karang telah dipaksa cerai oleh manusia yang tiada akal. Tidak mustahil suatu hari nanti, terumbu karang nan indah langsung pupus dari ekologinya lalu meninggalkan sumpahan zooxanthellae yang menakutkan buat kita semua!

Koleksi

Kalendar

Mei 2012
I S R K J S A
« Ogo    
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.