Saya melakar peta minda tentang Abu Bakar As-Sidiq RA buat perbentangan semasa usrah. Tokoh yang sudah diulang-ulang dengar sejak saya tadika lagi. Setiap kali pengulangan, saya pastikan saya mendapat kefahaman yang lebih dari sebelumnya.  Begitulah namanya usrah, untuk memberi dan menambah faham, bukan sekadar memberitahu. Ada beberapa perkara tentang Abu Bakar yang terang di kepala saya kali ini, Alhamdulillah.

Menurut Ibn Ishaq di dalam kitabnya Sirah al Kubra, Abu Bakar merupakan seoang yang rapat, disayangi, mudah berurusan dengan kaumnya. Beliau berketurunan paling mulia, paling arif tentang salasilah Quraisy dan merupakan peniaga berakhlak lagi terkenal.

Sungguh takjub apabila membayangkan Abu Bakar dan kekayaannya. Seluruh hartanya habis diserah di jalan Allah. Betapa ramai muslim yang kaya melalui perniagaan hari ini. Di Malaysia sahaja cukuplah. tetapi masih ramai juga muslim yang miskin. Seolah-olah menjadi trend muslim kaya hari ini, diberi kekayaan lebih sedikit, kereta bertambah-tambah di garaj, pakaian pula yang molek-molek dari butik mahal. Alasannya mudah, kerana kami mampu, jadi bukanlah perbuatan yang membazir. Di mana kelebihan sebuah BMW dengan sebuah Saga, bila kedua-duanya boleh meruangkan maksimum enam penumpang sahaja? Menjadi kaya impian semua orang, dengan alasan untuk hidup selesa dan boleh membantu orang ( alasan sebelum kaya, selepas kaya ke manalah pergi azam tadi..) Masalahnya, apabila kekayaan itu tidak dilihat sebagai satu bentuk ujian. Sebaliknya manusia memandangya sebagai satu bentuk nikmat yang menyenangkan, lalu akhirnya jadilah nikmat itu suatu melalaikan. Mengapa ya jadi begitu? Pendapat saya mudah sahaja. Kerana ramainya muslim yang kaya hari ini berbuat silap dengan membuka akaun di dalam hati mereka. Tidak cukup dengan duit yang berkepuk-kepuk di bank, simpan sebahagian lagi di dalam hati. Itulah akar masalah. Bukankah sudah jelas diajarkan bahawa di hati itu tempat duduknya nafsu, jadi mengapa masih mahu menyimpan harta di situ. Sifat nafsu itu, sangat suka menerima tetapi akan terlalu berat apabila mahu memberi. Belajar dari orang kaya Abu Bakar as-Siddiq, harta itu letakkan di tangan sahaja, jangan buka hatta peti simpanan kecil pun di dalam hati. Nanti bila perlu memberi, kita mudah melepaskan harta pergi, bukan menahan-nahan hingga sudahnya tidak boleh di bawa mati.  Jangan fikir dua kali untuk memberi. Ringankanlah apa yang dipinjamkan, kerana kita bukan pemilik semua itu. Lebih menakutkan dengan hakikat bahawa sebenarnya, nikmat harta yang dilambak kepada kita rupanya ada hak dari manusia ramai dan kita gagal menyampikan hak-hak mereka.

Abu Bakar juga merupakan seorang yang berilmu, baik tingkah laku dan mesra. Dengan kelebihan itulah beliau menanam kepercayaan masyarakat padanya. Natijah yang baik, Islamlah di tangannya Uthman bin Affan, Talah bin Ubaidillah, Zubair Al-Awwam dan Abdul Rahman-Al-Auf. Saya kira itulah pakej terbaik yang wajib ada pada seorang dai’e. Dai’e itu mesti mempunyai ilmu yang benar, supaya apa yang disampaikan berpasak dan tidak menyesatkan. Seorang dai’e mesti juga berahlak mulia sebagai bukti praktikal dari teori ilmu yang benar pada awalnya. Haruslah begitu. Adilkah apabila seorang dai’e itu sibuk menyuruh orang berbuat baik, tetapi dia tidak memulakannya dahulu? Terkahir, mesra. Sikap mesra menjadi pelengkap kepada berilmu dan berakhlak. Dai’e yang cukup ilmunya, molek akhlaknya, tidak tidak ‘mesra mad’u’  boleh diibaratkan seperti seorang yang mempunyai sangat banyak wang di bank dan baik hati mahu menolong orang, tetapi tidak memiliki buku cek. Dia tidak mempunyai saluran untuk menyalurkan kebikan. Ruginya. Mendekati manusia memerlukan pendekatan psikologi yang tepat. Senaraikan apa sahaja jenis manusia di dunia ini,sekiranya seorang dai’e itu mesra dan pandai membawa diri mengikut rentak mad’u, insyaAllah ramai yang akan makin hampir dengan Islam.

Saya senaraikan lapan kelebihan utama Abu Bakar di dalam peta minda. Yang paling saya suka ialah hebatnya tawakal Abu Bakar dengan Allah. Berlindung penuh dengan Allah. Saya kongsikan petikan di sini,

Al Bukhari meriwayatkan tentang Abu Bakar as-Siddiq daripada Aisyah RA, kata beliau, “ Saya sama sekali tidak terfikir bahawa ibu bapa saya menganut dua agama (yang berbeza). Setiap hari
Rasulullah SAW pasti datang ke rumah kami, pada waktu pagi dan petang.

Tatkala orang-orang Islam di tindas, Abu Bakar keluar untuk berhijrah ke Habsyah. Apabila sampai di Barak al-Ghamad beliau bertemu dengan Ibnu ad-Daghannah, ketua kabilah al-Qarah. Dia bertanya kepada Abu Bakar, “ Kamu mahu ke mana wahai Abu Bakar?” Jawab Abu Bakar, “ Kaumku menghalau aku. Maka aku ingin merantau untuk menyembah Tuhanku.” Maka jawab Ibnu ad-Daghannah, “ Sesungguhnya orang sepertimu tidak sepatutnya keluar dan dikeluarkan. Kamu membantu kewangan orang yang memerlukan, menghubungkan silatrrahim, memuliakan tetamu dan membantu pihak yang benar. Saya akan menjadi pelindung dan penjamin kamu. Pulanglah ke Mekah dan sembahlah Tuhanmu di negerimu.”

Lalu Abu Bakar kembali bersama Ibnu ad-Daggannah. Sesampai di Mekah, pagi-pagi lagi Ibnu ad-Daghannah bertemu dengan pembesar Quraisy. Dia berkata, “ Sesungguhnya Abu Bakar tidak akan keluar dari bumi Mekah dan tidak boleh dihalau keluar. Adakah kamu hendak menghalau lelaki yang membantu keangan orang yang memerlukan, menghubungkan silaturrahim, memuliakan tetamu dan membantu pihak yang benar.”

Quraisy tidak menghalang perlindungan Ibnu ad-Daghannah. Kata mereka, “Suruhlah Abu Bakar menyembah Tuhannya di dalam rumahnya. Dia hendaklah bersembahyang di ritu. Bacalah apa ang dia mahu. Kami tidak akan menyakitinya. Tetapi janganlah dia menghebahkan ibadahnya. Kerana kami bimbang anak dan isteri kami akan terpengaruh. Maka Ibnu ad-Daghannah memberitahu Abu Bakar tentang perkara itu.

Untuk beberapa waktu, Abu Bakar menyembah Tuhannya di dalam rumah. Beliau tidak bersembahyang dan membaca Al-quran melainkan di dalam rumahnya. Kemudia Abu Bakar mula membina tempat untuk beribadat di kawasan lapang rumahnya. Beliau bersembahyang dan membaca Al-Quran di situ. Wanita dan kanak-kanak muyrikin Quraisy mula berhimpun melihat perlakuan Abu Bakar. Beliau mudah menangis apabila membaca Al-Quran.

Tindakan Abu Bakar tersebut menggusarkan para pembesar Quraisy. Lalu mereka mengutus wakil bertemu dengan Ibnu ad-Daghannah, kata mereka, “ Sesungguhnya kami akur Abu Bakar di bawah perlindungan kamu. Tetapi dengan syarat dia menyembah Tuhannya di dalam rumah. Namun dia telah melampaui batas itu. Dia membina tempat ibadah di kawasan lapang rumahnya. Dia sembahyang dan membaca Al-Quran secara terang-terangan. Sesungguhnya kami bimbang isteri dan anak-anak kami terpengaruh. Maka hentikanlah perbuatannya. Jika dia suka untuk membataskan menyembah Tuhannya hanya di dalam rumah, lakukanlah. Namun, jika dia enggan dan ingin terus melakukan ibadah terang-terangan, maka mintalah supaya dia memulangkan kembali perlindungan kamu. Sesungguhnya kami tidak suka mencabul perjanjian dengan kamu. Kami juga tidak setuju tindakan Abu Bakar melakukan ibadah terang-terangan.”

Kata Aisyah RA, “Maka Ibnu ad-Daghannah pergi bertemu Abu Bakar dan berkata, “Aku masih ingat perjanjian aku dan kamu. Sama ada kamu melakukan berdasarkan perjanjian itu atau kamu menyerahkan kembali perlindungan yang aku berikan kepadamu. Aku tidak suka orang Arab berkata bahawa aku mencabul perjanjian dengan orang yang mengikat perjanjian denganku.” Lantas Abu Bakar berkata, “ AKU KEMBALIKAN PERLINDUNGANMU DAN AKU LEBIH RELA DENGAN PERLINDUNGAN ALLAH AZZA WAJALLA.”

Meminta pertolongan dari manusia samalah seperti seorang banduan meminta pertolongan dari banduan yang lain agar membebaskannya dari penjara. Dunia ini penjara bagi orang mukmin, di dalamnya terdapat seribu satu kesusahan yang mesti dilalui untuk ke syurga akhirat. Tidaklah manusia itu akan merasai syurga akhirat sekiranya dia tidak melalui satu syurga di dunia (penjara bagi mukmin). meminta pertolongan sesama manusia yang juga lemah adalah sia-sia. Kata bidalan Melayu, Seperti Berdian di Abu Dingin. Maksudnya, cuba memanaskan badan (berdian), tetapi pada abu, bukan di bara api. Sudahlah abu, dingin lagi. Sungguh sia-sia. Apabila berhadapan antara dua perlindungan, pilihlah perlindungan yang lebih kekal. Memintalah dari Allah, dan bergantung penuhlah pula dengan Allah. Ibaratnya, tawakal yang bulat kepada Allah seperti batu besar yang bulat, tidak bersegi-segi lagi. Apabila bergolek batu itu, maka ia akan menghancurkan halangan di kiri kanan jalan. Halangan itu boleh jadi anasir-anasir yang menahan tawakal kita. Apabila ada janji kemenangan dari Allah, maka tidak ada satu kuasa lain pun yang boleh mendatangkan mudarat kepada kita.

Saya ziarah Kak Long di Hopsital Serdang. Ain dan Aqilah datang sekali. Seronok dapat berjumpa semula selepas hampir empat tahun . Maha Suci Allah, milikNya kuasa pertemuan dan perpisahan. Dan seperti biasa, manusia di beri ketetapan atas keperluannya, bukan atas kehendaknya. Mengapa? Mudah, kerana kita tidak menulis takdir sendiri. Pertemuan semula ini juga, saya kira kerana ada keperluannya. Rindu sungguh saya dengan kakak saya yang seorang ini.

Saya lihat Kak Long berat menahan ubat yang masuk ke dalam badan. Itu cycle ke enam, kata Kak Long. Melihatkan keadaan kakak saya yang lemah, dan saya pula tidak boleh menolong apa-apa, membuatkan saya rasa sangat tidak berdaya. Lemahnya saya yang bernama manusia ini. Semasa menunggu Kak Long, datang seorang adik, menghidap SLE juga. Suhaili, pelajar kejuruteraan tahun satu di UPM. Kami sempat berkongsi cerita. Kisah Suhaili, adiknya meninggal semasa berumur 18 tahun, semasa mereka sama-sama bertarung melawan SLE. Sudah janji adik begitu, pujuk saya.

Saya mengulang kata sabar dengan mereka. Mungkin kedengaran mudah untur memberi pesan begitu, sedangkan saya tidak merasai kesakitan mereka. Kak Long dan Suhaili, Allah tidak akan memberatkan kita dengan kesakitan diluar kemampuan kita menanggungnya. Bila diberi uji, bermakna kekuatan untuk menerimanya ada di dalam diri. Janganlah mengaku tewas sebelum usai ujian. Bukankah kalian sudah mengishtihar cinta kepada Allah? Sudah berjanji beriman denganNya? Di situlah letaknya sebab ujian. Benarkah cinta, tapi tak pernah teruji? Benarkah iman, tapi belum didatangkan cubaan? Janji Allah, bersama kesusahan, ada bersamanya jalan kemudahan.

Saya percaya kalian meminta sabar di atas ujian. Kami yang di sekeliling ini juga sangat mendoakan kamu agar di beri kesabaran. Tetapi bagaimana sebenarnya hakikat sabar itu? Sabar tidak lahir bersama dengan lahirnya seorang manusia. Sabar itu tidak diberi dengan di angkat semua kesusahan dan diganti kesenangan. Sabar juga tidak akan datang dalam satu dos suntikan. Sabar itu sifat yang dipupuk. Kita semua meminta sabar, maka Allah datangkan ujian demi ujian lagi, tambah berat, tambah susah. Mengapa? Kerana setiap takah ujianNya yang kita berjaya lepasi, di situlah dos sabar yang kita perolehi. Semakin banyak yang kita lepasi, semakin besar sabar yang kita kumpul. Sehinggalah, pada satu ketika kita tidak terasa beratnya ujian Allah, malah bersama kesakitan itu, lebih dekat kita dengan Allah. Nah, saat itu sudah cukup pakej sabar yang ada pada diri kita. Sudah termakbul doa kita yang meminta-minta supaya diberikan kesabaran.

Terfikir pula tentang Rasulullah SAW, betapa beratnya ujian untuk baginda, dipaksakan kehilangan demi kehilangan, di suakan kesusahan di jalan dakwah, sedangkan baginda itu kecintaan Allah. Rupanya, ujian-ujian itulah yang membentuk kesabaran yang sangat hebat. Sabarnya baginda menjadi kamus rujukan untuk segala bentuk kesusahan kita pada hari ini.

Bersyukurlah dengan ujian, memintalah diberikan kesabaran. Ramainya manusia yang di ‘dera’ di zon selesa, tiada mereka menambah apa-apa dari kehidupan. Melainkan mereka menyangka sangat disayangi Tuhan, sedang nikmat di sekeliling itu hanyalah istidraj yang kelak di akhirat akan sangat menyiksakan.

Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran. (Al-’Asr 103:1-3)

Saya minta diri untuk pulang, Kak Long senyum, saya kira itulah senyuman paling indah yang pernah saya lihat.  Menyembunyikan kesusahan di balik manis muka yang dipaksakan. Saya lihat sabarnya di situ. Sabarlah, kerana syurga itu terlalu manis. Kak Long, saya sangat mendoakan!

Kita semua punya cerita sendiri tentang ibu kita. Kita sebahagian dari ibu kita, ibu pula adalah sebahagian daripada rahsia kita. Inilah sedikit cerita saya, tentang bidadari seorang ini. Takkan habis saya kisahkan kebaikannya walaupun saya ulang-ulang saban malam. Dan, kalaulah kamu benar-benar membaca, kamu akan melihat bahawa saya sebenarnya menulis semua ini dengan air mata.

Saya masih ingat, 16 tahun yang lepas, pada tarikh yang sama. Kami tinggal di Serdang, abah masih belajar, dan kami hidup sangat sederhana. Petang itu, abah bonceng saya dan Aiman. Dengan motornya, abah bawa kami ke sebuah kedai kek. Abah pilih sebiji kek paling murah. Icingnya putih semua, ada lima ceri di atas kek buat penghias. Abah minta pekerja di situ tuliskan sesuatu. Saya ingat semuanya, setiap inci peristiwa masa itu terakam sangat kemas dalam kepala. Saya ingat baju yang saya dan Aiman pakai, saya ingat bagaimana abah mengeluarkan duit dari poketnya, abah kira syiling yang ada, dan bila cukup nilainya, abah serah pada juruwang. Saya ingat ‘mood’ ketika itu, bau ketika itu. Saya ingat saya berdiri dekat dengan abah memerhatikan setiap satu yang berlaku di depan mata. Sesudah itu, abah beli sebungkus rojak di tepi jalan dan kami pulang ke rumah. Di rumah, Cik Ayang sibuk menyusun pinggan dan cawan di atas meja makan. Abah pindahkan rojak di dalam bekas ke dalam pinggan yang agak besar, dan kuahnya abah tuangkan ke dalam mangkuk yang besar juga. Rojak di dalam pinggan abah serak-serakkan sampai hampir ke gigi pinggan. Abah kata, bila guna bekas yang besar, yang sikit boleh nampak banyak. Saya tidak faham ketika itu, tapi saya senyum juga. Lepas 6.30 petang emak pulang ke rumah. Terkejut melihat kami semua sudah berkumpul di hadapan meja makan, dengan sebiji kek icing putih di atas meja. Emak letak beg di tepi, dan datang. Emak baca kuat-kuat tulisan pada kek, ‘Selamat Hari Lahir Emak. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki’. Saya yang pertama datang ke kerusi emak, saya salam dan ucap selamat. Emak peluk dan cium pipi kiri saya. Abah sempat rakam kenangan itu. Kemudian adik-adik lain mengikut.

Hari ini pada tarikh yang sama, 19 Januari 2010, usia emak menginjak 51 tahun. Saya amat realistik bahawa usia yang bertambah menghampirkan kita lebih dekat kepada kematian. Saya menghantar pesan ringkas kepada adik-adik supaya memberi ucap selamat kepada emak, melakukan solat sunat dan sedekahkan yasin buat emak. Jangan lagi menambah risau di hati emak, jangan lukakan perasaan emak, begitu pesan saya.

Saya pandang diri saya di cermin. Saya sudah dewasa. Dahulu emak pernah memipin saya yang ketakutan berjalan di gigi pantai. Emak tunduk melihat saya yang tentu sahaja lebih rendah darinya ketika itu. Emak bercerita laut begini dan begitu, siapa yang mencipta laut, dan sebagainya. Hari ini, saya berjalan dengan emak di pinggir laut. Emak pula yang mendongak sedikit memandang saya, dan saya pula yang berkisah rahsia kejadian laut begitu dan begini. Saya sudah dewasa. Adik-adik kakak, lihat, kita semua sudah dewasa, kita punya semangat berkobar-kobar, kita kuat dengan darah muda. Tinggalkan kawan-kawan yang kamu terlalu sayang itu, lihatlah pula pada emak. Emak sudah makin tua, sudah tidak kuat lagi, tidak lagi boleh menganggkat yang berat seperti masa kita kecil semua kecil dahulu. Jangan lagi bebankan kelemahan emak dengan kedegilan kita. Tak tertanggung dia.

Sebenarnya saya gusarkan tentang adik-adik saya yang lelaki terutamanya. Saya pernah lihat emak menangis kerana anaknya, emak sangat susah hati dengan anaknya. Saya? Saya lebih lagi, bukan sahaja berat memikirkan perasaan emak yang sakit, saya kenangkan juga nasib si adik di akhirat nanti. Bila ibu menangis kerana sedih terhadap perbuatan anaknya, dimanalah tempat tinggal akhir adik saya ini nanti? Mungkinkah di syurga yang saya impikan kami sekeluarga berkumpul di dalamnya? Emak menangis, saya lebih lagi tersedu.

Cerita emak, dia pernah bermimipi bulan turun ke ribanya. Dia sangat senang dengan cahaya bulan yang terang dan memberi damai, tidak membakar seperti matahari. Kata emak, maksudnya mimpi itu ialah ilmu sehingga akhir hayat. Saya melihat kesungguhan emak di dalam lafaz cintanya terhadap ilmu. Dan saya, memasang azam untuk meneruskan legasi ilmu emak.

Emak rahmat terbesar buat semua orang yang berada di sekelilingnya. Emak sangat sempurna di mata saya. Sejak saya mula pandai mengenal rasa, kebaikan dan kelembutan emaklah yang paling dalam tertanam dalam diri saya. Benar, saya sedikit memberontak di awal usia belasan tahun. Tumbuh di tengah-tengah lelaki, watak saya dibentuk keras seperti lelaki. Ketegasan abah hanya menambah keras kepala saya. Jadilah saya pada hari ini manusia dengan kemahuannya yang tetap, jangan sesekali mengatakan tidak boleh-saya akan mara lebih lagi, jangan menghalang-kerana saya akan mencabar kembali. Emaklah yang selalu melentur saya kemudiannya. Tegas abah dan hikmah emak menjadikan saya seperti air yang jika ditahan laluannya, akan segera membentuk alur yang baru.

 Usia saya 13 tahun dan emak memaksa saya belajar jauh di utara semenanjung. Sangka saya emak membenci kedegilan saya lalu membuang saya jauh-jauh. Rupanya bukan begitu. Di tempat baru, saya melihat kebaikan emak di mana-mana, dan saya jadi rindu. Hikmah Allah, mahu melentur kekerasan saya dengan air mata. Saya jinak dengan buku-buku kemudiannya, saya bawa buku Mutiara Hidup yang emak bekalkan kepada saya ke mana-mana sahaja. Saya dilentur takdir Allah dengan selentur-lenturnya. Rindu pada keluarga dan si kembar yang masih merangkak waktu itu, benci diletakkan di tempat asing, pening dengan karenah manusia-manusia ‘ber-agama’ – semuanya menjadi satu. Baru lewat ini saya memahami tindakan emak. Emak mendidik saya, bahawa kasih sayang itu bukanlah apabila kita selalu bersama. Emak putuskan kebergantungan saya dengan manusia- dia, abah, adik-adik, kawan-kawan baik dan sesiapa juga. Emak tanamkan dalam diri saya tawakal secara langsung dengan Tuhan. Saya jadi makin kendiri. Saat saya rasa sangat susah, saya hubungi emak, menggogoi di telefon. Pujuk emak, carilah kawan yang lebih susah, dengarlah masalah mereka, kongsikan biskut atau kerepek barang sepeket dua. Ah, emak saya kitab psikologi yang berkata-kata. Kerana itulah juga akhirnya saya menjadi penutur falsafah yang memeningkan kepala teman-teman.

“Emak minta maaf.” Itulah kata-kata yang paling saya benci untuk didengar dari mulut emak. Emak minta maaf dengan saya? Sedangkan syurga saya di bawah restu emak. Hati saya pecah, perasaan saya berkecai-kecai apabila emak minta maaf kerana tidak mampu menghantar saya ke Mesir untuk belajar perubatan berapa tahun yang lalu. Saya menyumpah diri sendiri yang sayalah anak yang paling mementingkan diri sendiri. Saya bencikan diri saya setiap kali emak mengulang kata maaf.

 Emak bidadari saya. Kecintaan saya. Guru pertama saya. Sahabat sejati saya. Naqibah saya. Murabbiah saya. Kebaikan emak memenuhi setiap halus urat saraf saya. Pesan emak- jangan membenci, maafkan, lepaskan, memberilah, mulakanlah kebaikan, dan banyak lagi. Dan saya melihat emak dan kebaikannya di mana-mana..

Usai mahgrib tadi, saya pohonkan doa untuk emak. Emak sudah banyak berihsan kepada kami adik-beradik, kepada abah dan keluarga abah juga. Saya merayukan untuk emak sungguh-sungguh, supaya Allah berbelas ihsan lebih lagi kepada emak. Supaya diberikan kegembiraan di dunia ini kepada emak melalui anak-anaknya (maka saya meminta hidayah Allah buat saya dan adik-adik untuk menjadi anak yang soleh dan solehah). Supaya dibangunkan sebuah istana paling indah di syurga buat emak, di tingkat paling tinggi dan paling hampir dengan Masyitah, Asiah dan Khadijah. Supaya diberikan kebaikan kepada emak di dunia dan di akhirat, segala kebaikan yang tak terfikirkan atau terdengarkan. Supaya…

Mula menukil sejak awal pagi semalam. Berhenti berkali-kali. Sebak pecah, menangis sendiri, tahan sedu dan menulis lagi..Sungguh, saya benar-benar tidak dapat menghabiskan tulisan ini..

Sendirian duduk di sejadah, saya berkhayal jauh. Ke mana sesudah ini? Bagaimana sesudah ini? Saya membayangkan bentuk-bentuk perpisahan yang mungkin. Saya tidak gusar dengan bentuk perpisahan yang sementara di dunia, hatta kematian sekalipun. Mungkin takdir saya begitu, tidak sentiasa berdekatan dengan keluarga dan yang saya sayangi. Tak mengapa, kerana saya lebih gusar dengan perpisahan yang kekal di akhirat. Terpisah antara syurga dan neraka, adakah lagi penyatuan yang boleh membahagiakan saya?

Ya Allah, sesungguhnya ibuku, ayahku, adik-adikku adalah milik penuh Mu. Ke atas mereka seluruh penguasaanMu. Tiadalah sedikit pun dari dayaku untuk menetapkan atau memalingkan mereka dariMu. Tidak ke atas diri ku sendiri sekalipun. Maha Penyayang Engkau Ya Allah, berikanlah kepada kami taufiq dan hidayah, tetapkanlah kami di atasnya, dan jadikanlah kami dari kalangan hambaMu yang bertaqwa dan bersyukur. Jadikanlah kami saling melengkapi dan saling menguatkan di jalan agamaMu. Janganlah keseronokan dunia memisahkan kami di akhirat nanti.Wahai yang Maha Memelihara, peliharalah kami dari apa juga bentuk tipu daya.

Bersembang dengan teman, saya ditanya, “Kenapa berusrah?” . Saya gelak dahulu baru menjawab.

“Sebab syurga itu subjektif.” kata saya.

“ Ah, kamu dengan falsafah kamu. Sudah, tolong ringankan untuk saya, untuk apa usrah itu?” Saya mengekek kecil, lucu melihatkannya serabut.

Manusia selalu memberi definisi syurga berdasarkan sempit rasa keseronokan yang mereka rasa. Contohnya, ada golongan mendapat kejayaan yang tidak putus-putus, maka mereka mengatakan bahawa mereka di dalam syurga kejayaan. Tapi nanti bila mereka dipaksakan gagal? Bagaimana? Masih adakah syurga mereka?

Bagi ahli muzik, ahlia perniagaan, ahli cinta dan apa jenis ahli sekali pun, akan mendifinisikan syurga mengikut ilmu dan rasa mereka. Nah, bukankah syurga itu subjektif?

Kita yang muslim, bagaimana pendapat kita tentang syurga?

Muslim yang beriman dengan kehidupan akhirat, harus memandang syurga dari perspektif  yang kekal.

Dunia ini seperti permainan, olok-olok sahaja. Syurga sepatutnya kekal, tidak ada lagi kesakitan dan kesusahan sesudahnya. Syurga itu kemenangan akhir yang dekat sebenarnya. Bagaimana indahnya syurga? Oh tidak terbayangkan walau dikerah seluruh akal manusia. Karanglah hikayat tentang indahnya syurga, syurga itu lebih indah dan tidak pernah terdengarkan oleh manusia.

Sekali lagi syurga itu subjektif. Untuk memasukinya, terpulanglah kepada manusia.

Jika kamu meletakkan syurga sebagai kewajipan ke atas diri kamu untuk memasukinya nanti, maka kamu akan mewajibkan diri kamu untuk berada di dalam kebaikan. Sentiasa.

Tetapi jika kamu mensasarkan syurga itu hanya sebagai pilihan, maka kamu akan memilih-milih untuk berbuat kebaikan. Hati jadi berbolak balik samada mahu duduk dalam kebaikan yang membosankan atau bebas dalam kejahatan yang menyeronokkan. Tapi kamu perlu simpan fakta ini kemas-kemas di dalam kepala, bahawa kamu boleh meneruskan kehidupan di akhirat samada dengan memasuki pintu syurga atau diheret ke neraka. Tiada tempat lain di antara kedua-duanya. Syurga itu sebaik-baik tempat kembali, neraka pula tempat untuk mereka yang dahulu di dunia memilih untuk merugi.

Saya, beratur di barisan kumpulan yang pertama. Meletakkan syurga itu wajib ke atas diri saya, maka saya wajib meletakkan diri saya sentiasa di dalam kebaikan. Saya tidak nampak cara lain untuk kekal di dalam kebaikan kecuali berada di dalam kumpulan manusia yang saling mengingatkan. Dan usrah menawarkan suasana solehah itu. Allah jelas memberitahu bahawa dunia ini hanya permainan, dijadikan indah dan melalaikan seperti di dalam surah Al Hadid 57:20.

 Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan (hiburan), perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.

Tiada apa yang boleh dibanggakan di dunia ini sebenarnya. Bila keluar roh dari jasad, badan yang segak, rupa yang molek jadi santapan ulat. Tiada harta, tiada karier, tiada anugerah atau apa sahaja yang boleh membuatkan malaikat Mungkar dan Nakir tersenyum nanti. Melainkan amal soleh yang di kumpul semasa hayat.

Dan Allah juga telah bersumpah atas nama masa, bahawa manusia itu rugi, kecuali yang berpesan-pesan untuk mentaati kebenaran dan menetapi kesabaran seperti di dalam surah Al-Asr 103:1-3.

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan kesabaran.

Untung atau rugi, syurga atau neraka, terpulang kepada kamu sebenarnya.

Saya kulum senyum, hurai jawapan satu-satu di dalam hati. Si teman jadi kurang sabar, menarik muncung. Saya ketawa lagi, sengaja beri si teman kerja. Mahu dia baca sendiri tulisan saya di laman ini. Hihi.

Pesan: Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. Tidak akan tertipu melainkan orang yang tidak berfikir. Jadi, jangan tertipu ya!

Alhmdulillah, Allah izinkan saya ‘basah’ dengan majlis ilmu sepanjang berada di rumah.

Saya ke daurah Usia Muda lebih kurang dua minggu lalu. Alhamdulillah, bertemu dengan Cikgu Ismail. Mengenalinya serba ringkas,  saya jadi kagum dengan kesungguhannya di dalam dakwah.  Moga cikgu dan keluarga di tetapkan Allah di atas jalan yang payah ini. Setiap kesusahan, saya mintakan  Allah beri ganjaran baik yang banyak sekali.

Perkongsian ini mungkin sudah ‘sejuk’ kerana tempoh yang lama dari hari program. Tak mengapalah, saya mahu berkongsi juga.

Kata Ustaz Mahyudin, matlamat utama musuh Islam ialah menghilangkan akidah Islamiah dari hati-hati umat Islam. Macamana caranya? Mereka merosak akidah umat Islam kemudian memadamkan roh jihad. Maka hasilnya, jadilah iman individu muslim itu di dalam keadaan  syak kepada dirinya sendiri, berubah prinsip muslim itu daripada kewajipan bekerja kepada muslim yang tawakul sahaja. Akhlak mulia muslim juga di ‘jenamakan’ semula kepada muslim berakhlak buruk.

Butakah mata kita untuk melihat bahawa tersusunnya agenda sang musuh? Kufar menyediakan barisan tenteranya yang  mahir dalam semua bidang untuk menyerang kita dari segenap ruang dan peluang. Ini hanya musuh zahir, belum lagi musuh yang ada di dalam diri kita, luaran dan dalaman. Kalaulah kita memikirkan semua ini sungguh-sungguh, sebenarnya kita di serang bertubi-tubi. Mungkin boleh dimetaforakan begini. Pokok yang asalnya dari induk yang baik, selepas berada di tanah dan sedang mahu tumbuh subur, kemudian di suakan kepada matahari yang terlampau terik, usai itu bah pula, dan bila tumbuh sahaja pucuk muda, ada  tangan-tangan jahat yang mahu memetik atau menuangkan racun, kumbang dan beluncas datang mencari makan, merosak batang dan daun. Kemudian di akarnya pula, racun mematikan fungsi serapan air, di dalam pokok yang baru mahu besar itu pula ada virus yang datang dari entah mana. Agak-agak bolehkah pokok itu tumbuh subur seperti induknya?Bolehkah? Kalau tak ada perisai yang benar kuat, saya membayangkan pokok itu menyambung kitar alam sebagai humus kepada tanah. Mati.

Begitulah kita, andai serangan-serangan musuh itu seperti batu, kita dibalingkan dengan batu-batu itu 24 jam tanpa henti. Kita luka dengan teruk sekali sebenarnya. Parahnya mungkin boleh menyebabkan kematian.

Namakan apa sahaja, dalam bidang apa sahaja, musuh kita menunggu dengan ‘senyum mesra’ memujuk kita mula mengatakan “Tak apa..” . Apabila kita jinak dan mula mengatakan ‘tak apa’ maka kita telah mula terdedah kepada bahaya meringankan syariat dan aqidah seterusnya. Hiburan tanpa henti, teknologi terkini, wanita, fesyen, makanan dan minuman, keperluan harian, kenderaan, sistem pendidikan, kewangan dan segalanya pada hari adalah dalam acuan musuh. Sedarkah?

Semasa senggang rehat di daurah tempohari, saya termenung sendiri. Saya maklum dengan agenda musuh. Saya faham selok belok kasar strategi mereka. Tapi dari titik mana saya harus bermula? Di mana saya boleh muntahkan kesedaran saya dan kebencian kepada musuh agama saya? Ah, mestinya bermula dari faham. Mengenali potensi diri saya, mengenali agama saya, mendalami segala anasir yang boleh menggugat langkah saya, dan mula melangkah. Dengan membina faham, bermaksud membina perisai untuk menangkis serangan yang makin lebat. Di mana pasak kekuatan perisai saya? Pada kuatnya hubungan saya dengan Allah.

Saya orang muda. Semangat di dalam diri saya besar dan menyala-nyala. Tetapi saya tahan di hujung jari, saya tahan juga di hujung lidah. Supaya saya tidak salah menyalurkan semangat muda ini. Supaya saya tidak sasar menyakiti sesiapa, juga. saya rendahkan diri dengan serendah-rendahnya menadah ilmu dari halaqah. Saya paksakan diri saya melalui disipilin ilmu dari halaqah. Dikit-dikit saya catumkan ilmu yang saya tadah, bentuk kefahaman dan saya keluarkan di hujung jari dan lidah dengan semangat yang sudah terbentuk.

Semangat terbentuk? Tak pernah dengar? Begini, lihat anak muda hari ini berhibur di konsert-konsert atau semasa mereka mengamuk? Itu contoh semangat yang sasar dan samar matlamatnya.  Kekuatan semangat mereka yang terbentuk boleh membuatkan dunia ketawa atau meruntuhkan satu negara. Kalaulah semangat anak-anak muda dapat dilentur, mashaAllah, saya membayangkan manusia seperti Solehuddin Al-Ayyubi, Umar Abdul Aziz, Ibnu Sina, di mana-mana sahaja.

Sabda Nabi, “Berlaku baiklah pada pemuda. Kerana mereka adalah yang paling lembut hatinya. Allah mengutusku dengan agama yang lembut, lalu pemuda membantuku. Sedang orang-orang tua menyanggahiku.”

 Jangan dilentur besi yang baik dengan kuatnya semangat. Bimbang nanti ia patah. Lenturlah perlahan-lahan dengan faham ilmu dan hikmah. Kelak kamu menjadi besi yang membantu dengan kekuatannya. Tidak patah kerana rapuh karat yang sia-sia.

“Ajarkan kepada saya tentang air..”

“Pada air itu ada hikmah yang sarat. Air itu sangat patuh pada Tuhannya. Hendaklah manusia itu belajar dari ketaatan air. Perintah Tuhan; “Meluncurlah kamu di laluan yang Ku ilhamkan.” Maka air tunduk dan berkata, “ Sesungguhnya kami dengar dan kami patuh.” Dan air pun bergerak, di laut menyejukkan tanah di darat, di sungai memberi khidmat kepada kita. Di jeram pula garang menumpulkan batu yang tajam..”

“Apa lagi tentang air?”

“Jadilah mukmin itu seperti air. Tidak pandai memberikan alasan tidak mengalir. Biar ditahan batu dan kayu, air tidak berehat, malah membentuk alur yang baru. Air yang dipaksakan tertahan , tidak pernah bersungut laluannya terhalang. Bahkan ia mengumpul kekuatan. Sehingga air yang diempang boleh menjanakan tenaga buat sepekan.”

“Air itu asal kejadian. Cerita Tuhan, air melembutkan tanah yang keras. Sehingga keluar dari tanah itu pucuk yang lembut dengan kekuatan. Dan tidakkah insan itu memikirkan?

“Kamu memang mahu ikut resam air? Melembutkan, menyuburkan, menyejukkan, mengumpul tenaga, tidak memberi alasan.. dan akhir sekali, ‘ sesungguhnya kami dengar dan kami taat…’ Benar-benar mahu jadi seperti air..?”

“Tentu. Semua orang pun mesti belajar dari resmi air. Kenapa?”

“Kalau benar-benar mahu jadi air.. ikatan iman dan hati, simpulan akal dan roh, mesti mahu muafakat.. geraknya seiring, lakunya serentak. Dengan izin Allah, kamu bisa jadi seperti air. Mengalir di laluan yang diilhamkan Tuhan, ‘Sesungguhnya kami dengar dan dan kami patuh..’

Kamu, semoga menjadi air yang jernih, yang mendamaikan, dan yang penuh dengan keindahan pada pandangan Tuhan..’

“Mendoakan? Terima Kasih!” “Oh ye, belum habis tentang air. Air itu hadiah Tuhan buat manusia. Buat melentur rasa, juga melahirkan cinta. Kata sufi tidak sempurna taubat tanpa air mata. Manusia tanpa air akan hilang jiwa. Dunia tanpa air, tiadalah kita!”

“…”

Di waktu yang lain, tentang hujan.

“Langit yang bersedih menceritakan hikmah yang tidak pendek. Hujan itu asalnya air yang membawa kebaikan. Gerak angin yang lembut ataupun garang membawa awan sarat air itu bermakna kebaikan akan menimpa kamu, samada kamu suka menerima atau akan sakit dipaksakan.

Rintik hujan pun menuju bumi, dengan zikir yang lebat. Segala makhluk di bumi pula, menyambut dengan tahmid yang sarat. Hampir saja langit itu pecah kerana pertembungan keduanya. Bergegar pula arasy Tuhan semasa puji-pujian deru ke langit.

Apabila semua tahmid dari air, tanah, pokok, angin, batu dan kayu langsung diterima Tuhan, bagaimana doa-doa manusia yang terselit antara tahmid itu tidak terpandangkan?Nah, disitulah yang dikatakan penerimaan doa dari Tuhan semasa hujan.

Jika ada manusia menyertai syukur makhluk-makhluk yang patuh itu, mereka bahkan mendoakan penerimaan Tuhan untuk dirinya. Jadi bersyukur dan berdoalah dengan banyak waktu itu!”

“Hujan itu rahmat buat alam. Nak jadi hujan?”

“Mahu.”

“Sifat hujan itu membawa rahmat. Sebagai manusia, telah ada seorang Nabi yang diciptakan Tuhan untuk membawa rahmat buat sekalian alam. Namanya Muhammad bin Abdullah. Jejak langkahnya masih ada hingga ke hari ini. Tak perlu guna mata batini, dengan mata zahiri pun sudah cukup jelas rahmat yang baginda bawa. Dari tangannya, lahir sebaris salafus soleh, syuhada, mujahid, ulama’. Dari tangannya kita berada dalam Islam.

Mahu jadi hujan? Cubalah ikut jejak Nabi. Nanti kita akan jadi hujan yang cemerlang. Hujan yang menyegarkan hati-hati yang sakit. Hujan yang menyantuni hati-hati yang zalim. Hujan yang memadam api kefasikan di dalam hati.

Kamu, tak mustahil untuk kita jadi seperti hujan, selagi Muhammad bin Abdullah itu hidup dalam jiwa kita.”

Saya pernah berjanji dengannya untuk memasukkan ini tulisannya di dalam blog saya. Sudah di taip, tapi langsung lupa. Maaf ye.

Jiwa setiap manusia berada di dalam genggaman-Nya. Apa yang terlintas dalam cepu fikiran, apa sahaja yang dibisikkan di dalam hati, semua itu tidak terlepas daripada pengetahuan-Nya. Dia menciptakan kita, dan digalaskan ke atas pundak kita tanggungjawab yang tidak mampu dilaksanakan oleh makhluk yang lainnya. Kita telah menerima watikah perlantikan untuk menjadi khalifah dan pemakmur di atas muka bumi Tuhan. Perjanjian telah termeterai di langit. “Kami bersaksi bahawa Engkaulah Tuhan kami.” Saat manusia dihantar ke dunia, dia telah terikat dengan sebuah janji kepada Tuhan. Keadaan sekeliling, kurang didikan dan pengaruh nafsu yang tidak terbatas telah mendorong manusia untuk melupakan sedikit demi sedikit janjinya kepada kepada PenciptaNya. Benarlah, pemurah dan pengasihnya Dia telah memberikan kita peluang untuk kembali menghadapkan wajah kusam ini kepadaNya dan bertaubat memohon keampunan dariNya yang luas dan tidak bertepian.

Dalam menyelusuri sebuah kehidupan, manusia diberikan kesempatan untuk membuat pilihan. Secara mudahnya, kehidupan terbahagi kepada dua keadaan. Mahmudah dan mazmumah. Keterikatan di antara Iman dan akal yang seimbang akan menjadikan seseorang mampu untuk memilih yang benar, kebaikan dan redha Allah. Hidupnya bahagia dan tenang, kerana dia mengerti, “Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.” Dia mengakui bahawa diri dan jiwanya adalah antara cebisan alam yang luas. Maka dengan itu, dia yakin dan amat mengingati bahawa Penguasa bagi diri dan jiwanya adalah Penguasa bagi sekalian alam. “Sesungguhnya dengan mengingati Allah, jiwa manusia akan tenang.”

Keterikatan antara nafsu dan akal yang tidak terlorong untuk melaksanakan perintah dari langit akan menjadikan seseorang itu lupa kepada kehidupan selepas kematian. Serta menjadikan dia lupa tentang kematian itu sendiri. Golongan ini adalah golongan yang telah melupakan ikrarnya kepada Tuhan. Mereka juga adalah manusia yang telah tersilap langkahnya dalam menyelusuri kehidupan. Maka bagi mereka adalah kehinaan, kerugian, dan kenistaan pada pengakhiran perjalanan mereka di dunia. Sekiranya mereka bertaubat dan menemui cahaya dalam kehidupan, ketahuilah bahawa sesungguhnya pengampunan Allah itu lebih luas dari dosa dan noda yang pernah mereka lakukan. Maka benarlah, kasih sayang Allah itu luas.

Kata Ali karamullahuwajhah, kehidupan adalah mimpi bagi manusia, dan dia akan terjaga dari mimpi saat maut menjemputnya.

Pilihlah, samada ingin menjadi seorang manusia yang berguna atau menjadi seorang manusia yang mendatangkan bencana………

Ilham ini datang dari Tuhan…….

10 Syawal 1430 Hijrah; 29 September 2009 Masihi.

Cahaya yang Memelihara

Sedang bermalas tadi di ruang tamu. Terpandangkan keratan akhbar ini. Tajuknya sahaja membuatkan saya menarik terus lembar akhbar nan sehelai untuk di baca. Hujan. Hujan itu kecintaan saya. Jadi di sini, saya kongsikan petikan bab ke 15 novel bersiri RICE WITHOUT RAIN.

DOA LAHIRKAN BAYI PEREMPUAN LALU HUJAN TIBA

Melalui bukaan rahim Dao yang terkoyak itu, kepala itu kelihatan amat besar, dan ia masih terus membesar. Ia bulat, padat, lalu menekan bahagian luarannya. Dak kemudian, tiba-tiba bayi itu mahu keluar, kepalanya seperti kubah dan ia keluar sepenuhnya, lehernya yang kecil mencelah antara kaki Dao seperti batang pokok. Sebelum Jinda dapat memegangnya, tubuh bayi itu menjalar keluar… dada, lengan dan kaki. Tubuhnya kurus, licin dan biru cair, seperti ikan keli melompat dari lopak lumpur. Jinda menyentuhnya. Ia hangat dan lembap. Rambut lembap rapat di dahinya, matanya terpejam, tangan kecilnya digenggam. Jinda puas memandangnya yang seperti pejuang. Dengan kekok dia menyerahkannya kepada Dao, tangannya menopang bahagian punggung yang licin, lembap.

“Anak perempuan,” Jinda mendengar suara neneknya memberitahu Dao.

Dia melihat makhluk di tangannya. Ya, anak itu telah menjadi replika kecil daripada ibunya, lengkap dengan tubuh berlipat seperti kelopak bunga yang baru saja dipetiknya. Jinda gembira bayi itu perempuan.

Neneknya meramas perut Dao dengan urutan yang kuat bertenaga. Dao mengerang lalu tangannya menolak urutan wanita tua itu, tapi tolakannya lemah.. Ketika neneknya terus menekan, darah terus keluar. Dengan darah membuak, uri bertompok gelap itu keluar bersama, membentuk cairan di daun pisang itu.

Jinda sedar tangannya berlumuran darah. Dalam sekelip mata, gambaran pembunuhan siswa beramai-ramai meresap ke dalam fikiran Jinda. Tubuh-tubuh berlumuran darah – dimuatkan ke dalam ambulan-ambulan, pergelangan tangan terpotong menitiskan darah dari pokok asam jawa, dan sekarang tangannya sendiri berlumuran darah. Jinda melawan rasa meloya.

Wanita tua itu mengikat simpulan di sekeliling tali pusat, lalu menjauhkannya dari bayi itu. Tangan-tanganya yang berkerut itu menggigil dengan kuatnya.

 “Tolong aku potong ini,” kata nenek Jinda, lalu menyerahkan potongan buluh kepada Jinda.

Dia menunjukkan simpulan di tali pusat itu. Jinda merasakan bilah buluh runcing yang terpacak ditangannya. Dia pening ketika melihat semua itu dan bau darah.

“Saya…saya tak boleh…, katanya serak.

Dan bayi itu kemudian menangis. Ia adalah bunyi kejayaan, kekuatan dan kemanisan kepada nadi kehidupan. Ada darah kematian dan darah kehidupan, Jinda tiba-tiba menyedarinya. Dan darah di tangannya ini adalah darah kehidupan. Jinda menarik nafas panjang dan berasa lega. Tangannya memegang bilah buluh dan dia tidak menggigil lagi. Dengan pantas dia menunduk lalu memotong tali pusat yang masih mengalirkan darah Dao kepada anaknya. Pemotongan itu bersih dan lancar. Bayi itu meraung.

“Dengar teriakannya!” Jinda berkata kepada kakaknya.

Dao mendengar, tapi tidak kepada bayi itu. Dengan rasa terkejut, matanya terbuka luas penuh kehairanan, dia merenung jauh jendela yang terbuka. Ketika itu juga mendengarnya; ada bunyi laju, kuat di sekeliling mereka. Bumbung, dinding-dinding, dedaun di luar bergema dengan hentaman. Setiap sudut di bilik itu dipenuhi dengan bunyi hentaman itu. Dengan curiga, Jinda menahan nafasnya lalu menjengah ke luar tingkap.

 Hujan telah turun.

“Anak ini mengirim hujan ini,” kata Dao, sambil menyerahkan bayi itu dari lengannya. Jinda menyambut ciptaan kecil dan lembap itu dari pangkuan kakaknya. Bayi itu menangis, menggawang tangan kecilnya ke udara.

“Mandikan dia,” kata Dao dengan lembut.

 “Kami akan mandikan dia nanti, anakku,” kata neneknya.

“Kau baringlah. Berehatlah.”

“Tidak. Mandikan dia,” Dao mendesak.

“Sekarang, di dalam hujan.”

Lalu, Jinda memangku bayi itu dengan tangannya yang lembap, dengan berjengket dia berjalan ke luar. Angin kencang yang dingin bertiup di bawah tepi bumbung, lalu mengoyakkan cebisan-cebisan atap dengan tiupan itu. Jinda melangkah keluar dari teduhan tepi bumbung itu lalu menuju ke beranda yang terbuka, dan dia memeluk bayi itu erat kepadanya. Anak gadis kepada hujan, bisiknya perlahan, di sini… dongaklah ke langit. Air hujan itu hangat dan nyaman, menitik ke atas wajah Jinda dan ke atas bayi kecil itu. Dia melihat titisan-tisan hujan itu menitik mengenai kulitnya yang licin, lalu membilas tompokan darah.

Jinda duduk di bahagian atas tangga itu, memangku bayi dengan tangannya. Perlahan-lahan, air hujan bertakung dalam sarungnya. Dengan sebelah tangannya, dia memaut leher bayi itu dan sebelah tangan lagi dia mencedok air hujan dari pangkuannya untuk memandikan bayi itu. Orang kampung lainnya keluar dari rumah-rumah mereka, ketawa sambil memandang ke langit. Kanak-kanak bermain lumpur- keras, tanpa pakaian mereka berlari dengan berbogel dalam hujan panas, punggung mereka bertompok-tompok keperangan. Semua suri rumah mengeluarkan bakul-bakul anyaman berisi herba ke dalam hujan,manakala kaum lelaki menolak kendi-kendi kosong di bawah parit-parit buluh untuk menadah hujan dari atap-atap itu. Dan di suatu sudut laman, seorang lelaki tua berdiri keseorangan, mendongakkan wajahnya untuk merasai titisan-titisan hujan di atas lidahnya.

Jinda melihat mereka dengan rasa gembira sehinggakan takungan air di lengannya semakin pudar merahnya oleh kesan darah. Hujan turun semakin lebat, lalu dia terasa pedih di dahi dan pipinya. Bayi itu mula menangis.

“Berikannya kepadaku!” Nenek Jinda menyeru dari pintu.

Jinda naik, menyerah kembali bayi itu yang kini putih bersih, kepada neneknya.

“Dao dah baikkah?” Tanya Jinda ketika mereka bersama-sama membalut bayi itu dengan ketatnya bersama selendang lusuh berpetak yang bayi Oi gunakan tahun lalu.

“Dia sedang berehat,” kata neneknya.

“Jadi nenek tak perlukan apa-apa lagi?” Wanita tua itu tersenyum, menggelengkan kepalanya.

“Pergilah,” katanya.

“Pergilah berlari dalam hujan. Kalaulah aku boleh berjalan, aku pun akan keluar berlari juga!”

Wajah Jinda bersinar dengan senyuman, kemudian dia menuruni anak tangga di beranda lalu melepasi pagar buluh yang terkuak-kuak itu. Tanah menjadi lembut dan meninggalkan kesan jejak di bawah kakinya yang tidak berkasut. Betapa seronoknya dapat memijak lumpur sekali lagi!

Disepanjang lorong itu, angin bertambah keras. Deruan angin berhembus kencang lewat lengan-lengan Jinda, pedihnya seperti terkena tangkai padi yang panjang dan tajam. Dia melewati bunga raya, berlindung di situ, dan melihat dedaunnya memancarkan warna hijau cerah ketika hujan itu telah membuang segala lapisan debu tebal di situ. Beberapa kuntuman bunga bersinar, menjadi bersih merah menyala dicerahkan hujan.

Ketika berlarian di lorong itu, langkahan Jinda menjadi ringan dan tenggelam timbul ditelan lumpur-tanah becak. Dia dapat berasakan angin bertiup di wajahnya, menolak rambutnya kebelakang, menembusi bajunya yang nipis, lalu ia basah sehingga bajunya kelihatan seperti lapisan kulit yang kedua. Ribut itu telah menyebabkan wujudnya pergolakan. Angin kini bertiup keras sehinggakan pokok-pokok yang tumbuh di situ hampir tercabut akarnya. Ia bergoyang dengan liar sekali, pelepah palma melambai-lambai dan terbang ke langit. Dan ketika hujan turun lebat, ia jatuh ke tanah rata dari awan – langit terbentang luas.

Jinda masih berlari dalam ribut, meredah angin kencang, dan berasa hujan itu melencunkan bajunya sehingga ke kulitnya. Dia berlari sehingga di tepi tubuhnya tercedera, dan nafasnya jadi tercungap-cungap kesakitan. Dan ketika dia berlari, ada simpulan ketat, kering dalam tubuhnya mula terurai lalu terlepas, dan dia berasakan seolah-olah ada satu bebanan berat baru tercabut daripadanya. Desa itu teletak jauh di belakang. Di depannya ada sawah-sawah terbentang luas, sehingga ke kaki gunung-ganang itu. Bermandikan bayangan yang lembap, gunung-ganang itu kelihatan seperti pokok lavender yang besar. Ada beberapa orang petani yang telah keluar ke sawah, membawa kerbau-kerbau mereka mula membajak, dan beberapa orang wanita mengharung sawah separas lutut di batas sawah mereka, untuk meluruskan kedudukan anak-anak benih yang tertanam di dalam lumpur.

Doa Lahirkan Bayi Perempuan Lalu Hujan Tiba. Petikan daripada novel bersiri RICE WITHOUT RAIN. Tulisan Ming Fong Ho. Terjemahan Ali Bukhari Amir. FIKRAH, 28 Zulkaedah – 2 Zulhijjah 1430. Bahagian Sastera dan Budaya, Halaman F17.

Terjamahan Al Quran bersampul kulit berwarna hitam saya capai. Mencari terjemahan tentang ayat kejadian hujan dan berita gembira yang dibawa bersamanya. Tak berjumpa. Saya tanyakan abi, abi minta saya buka buku Zindani pula. Erk.. mana nak cari ni.. Lepas tu abi bagi dua surah ini bersama ayatnya. Alhamdulillah.

“Allah, Dia-lah yang mengirim angin lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendakiNya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila hujan itu turn mengenai hamba-hambaNya yang dikehendakinya, tiba-tiba mereka menjadi gembira. Dan sesungguhnya sebelum hujan diturunkan kepada mereka, mereka benar-benar telah berputus asa.” ( Ar-Rum 30: 48-49)

“Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya (hujan); hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran.” ( Al-A’raf 7: 57)

Hujan memberi gembira kepada Dao, Jinda dan orang desa seluruhnya. Sehingga bayi Dao dipanggil Jinda sebagai anak gadis kepada hujan. Begitu sekali gembira manusia menerima hujan. Hujan itu rahmat kata Allah. Dan diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Saya senang mengatakan bahawa hidayah Allah itu cahaya, dan datangnya seperti hujan. Menimpakan sesiapa yang dipilihNya. Datangnya tak boleh di tahan atau di pujuk rayu. Bila ia datang, kita suka untuk menerima atau sakit dipaksakan, kita akan ditimpakan juga.

1_359917723lPagi Rabu. Saya ke pusat belajar memandu seawal tujuh pagi. Cikgu yang mengajar saya ialah seorang pakcik yang sangat baik. Satu jam pertama saya disuruh memandu di laluan A. Agak kelam kabut dengn gear dan ‘clutch’ di jalan yang banyak lampu isyarat.

Jam kedua, saya diminta untuk ke laluan B. Dikalangan calon,kami memang telah dimaklumkan bahawa laluan itu ‘susah’. Saya keluar dari persimpangan dan masuk ke jalan besar. Selepas lampu isyarat kedua, saya menukar gear 1,2 dan 3. Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat dari arah belakang, saya dan cikgu terdorong ke hadapan. Sangka saya, saya tersilap masuk gear, tetapi melihatkan Lesen Belajar Memandu saya jatuh terpelanting, ini mesti sebab berlanggar. Cikgu cepat-cepat menoleh kebelakang.

“Ya Allah” spontan kelur dari mulut cikgu. “Masuk tepi jalan..” sambungnya lagi. Saya mengikut saja. Mengggil tangan tak usah dikata. Ada 2,3 kali jugala enjin mati sebab kelam kabut nak parkir ketepi.

Usai parkir, saya toleh ke penunggang motorsikal tadi. “ Ya Allah..” Telan air liur saya melihatkan motornya yang sudah rangup. Alahai..salah saya ke?

Ada beberapa orang yang prihatin segera berkejar ke tempat lelaki tadi, mengalihkan motornya dan memapah dia ke tepi. Cikgu  saya awal-awal sudah berkejar ke tempat lelaki tadi. Saya? Di dalam kereta menggigil dek terkejut. Terasa juga mahu turun melihat, tetapi cikgu awal-awal sudah minta saya duduk di dalam sahaja. Saya gigit jari melihat serpih motor yang sudah ‘selesai’ itu. Alahai..

Dari dalam kereta saya melihat penunggang motorsikal tak sudah-sudah merenung saya yang di dalam kereta. Serba salah, tambah gelabah, apa yang saya patut buat sebenarnya ni? Keluar kereta dan minta maaf? Ngeri pula membayangkan akan dijerkah nanti. Jadi di dalam kereta sahaja? Macam tidak patut pula. Cikgu patah balik ke kereta, meminta saya duduk dibelakang. Cikgu mengundur sehingga ke tempat motor dan kemudian meminta saya keluar dan duduk di hadapan pula. Di dalam hati saya mengomel juga. Fikir tidak mahu keluar tadi, sudahnya disuruh keluar juga depan pakcik yang cedera ni. Saya kerling motor yang hancur dan keadaan pakcik itu. Alahai..

 Selepas itu cikgu ke balai polis membuat laporan. Saya ikut sama. “Salah saya ke cikgu?”

“Taklah.. kan kamu tengah belajar. Sebesar-besar L kat kereta, dia boleh langgar pulak..”

“ Betul saya tidak salah?” Saya mengulang tanya. Cikgu senyum sahaja.

“Tidak. Dia yang langgar dari belakang. Alhamdulillah dia tak apa-apa”

Saya diam sahaja sehingga tiba di sekolah memandu. Tidak sampai sepuluh minit, abah pun tiba ke sekolah memandu dengan kawannya. Abah bercakap-cakap dengan cikgu dan kemudian semasa mahu pulang, saya dipanggil. Sempat juga cikgu berpesan kepada saya,

“Memandu ni, tak boleh serik. Orang penakut sahaja yang cepat serik.” Nasihat cikgu dengan senyum penuh makna. Saya membalas senyumnya. Hm..mencabar. Baiklah, saya bukan penakut!

“Dalam pemanduan berhemah, takde siapa salah, dan siapa betul. Bila jadi kemalangan, dua-dua pun salah..” Tokok cikgu lagi sebelum saya keluar. Saya senyum sahaja. Di dalam hati membenarkan katanya.

Rasa terkejut sudah reda sedikit. Saya mengelamun sepanjang perjalan pulang ke rumah. Macam-macam  ujiannya bila jadi manusia ni kan? Tiada perkara mudah dengan jawatan ‘manusia @ khalifah’  ini.. Saya membanyangkan wajah emak di rumah yang separuh usianya habis di jalanraya, membantu abah menguruskan keluarga kami. Terkenangkan juga ummi di sabah yang boleh memandu dan membantu abi dalam urusan dakwah. Saya tergelak kecil mengenangkan cerita ummi yang buat ujian JPJ 2 kali kerana berangan di lampu isyarat..Haha..maaf ye ummi! Lagi, saya teringatkan Ummu, Olin, Jannah dan akhawat lain yang sudah memiliki lesen. Hm, saya juga mesti seperti mereka! Punya kemahiran di jalanraya untuk memudahkan dakwah. Trauma kemalangan itu kecil sahaja dibandingkan susahnya mahu menjawab soalan Allah nanti, tentang mengapa masih ada yang tidak mengenali Tuhannya? Bak kata Ummu, sikit saja ni, tak terlawan pun dengan sakit rakyat Palestina dibakar hidup-hidup dengan bom fosforus.

Di rumah saya bercerita dengan emak saya kemalangan. Emak senyum saja. Katanya, doakan pakcik yang kemalangan tadi tu tidak apa-apa. Mohonkan untuk pakcik itu ganti kebaikan atas motor dia yang remuk dan sakit yang dia kena rasa. Kata emak lagi, dia tahu saya kuat. Jadi saya tak apa-apa. Aduhai emak saya.. Mendengar katanya, melihatkannya yang tenang, langsung pulih semula semangat saya.

Err..pakcik yang kita berlanggar tadi, kalau pakcik terbaca tulisan saya ni, saya minta maaf ye. Salah saya tidak menjeling cermin pandang belakang. Saya doakan Allah ganti motor pakcik dan sakit pakcik dengan kebaikan dunia dan akhirat yang baaannyaakk ye. Saya minta maaf. Pakcik dah ok kan? Hee.. Kosong-kosong ye. Oh ye jangan lupa buat laporan polis ye pakcik, saya dah buat tadi dengan cikgu.. Er..minta maaf banyak-baannyaakkk ye pakcik..

Esoknya, Saya ke kelas memandu seperti biasa.

Sebenarnya entri ini saya tulis hari rabu yang lepas, petang selepas saya berlanggar, sebelum saya menulis tentang sabar Cikgu Ema. Mengapa ntah, saya tidak sudahkan. Semalam chatting dengan Ummu, rupanya dia juga kemalangan, dan perlanggaran yang lebih teruk berbanding saya. Alhamdulillah, teman saya ini cukup kuat untuk melihat hikmah yang banyak Allah susunkan untuknya dari kemalangan itu. Tiba-tiba terfikir yang kami saling berwasiat beberapa hari sebelumnya. Alhamdulillah, masih ada sisa umur kami di dunia. Moga kami Allah tsabitkan di atas jalanNya yang lurus dengan baki masa yang tinggal. Ummu, ini kata Allah untuk kita (senyum)

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa) : ‘ Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Berilah maaf kepada kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”                 ( Al-Baqarah 2: 284-286)

Awal ibadah:Bismillah..Mai’yatullah menambah waspada, meningkatkan mahabbah. Kerja kerana Allah, ikhlaskan jiwa,berhati-hati di jalan raya.. =)    (Peace Nik!)

3383206738_89273cff6a

Semalam saya menjemput si kembar membaca entri ‘Berilah Maaf..dan lepaskan!’. Soalan mudah mereka, antara beri maaf tanpa alasan dan beri maaf lalu lepaskan, adakah beza? Saya ketawa dahulu. Ah, budak berdua ini kalau sudah dalam mood bertanya, boleh terkedu orang dibuatnya. Jadi adik-adik sayang, begini jawapan kakak..

Beri maaf tanpa alasan dan beri maaf lalu lepaskan, tentu sahaja ada bezanya.

Memberi maaf tanpa alasan bermaksud tidak meletakkan sebab untuk sebuah kemaafan. Mudahnya, maafkan sahaja kerana setiap manusia berhak untuk dimaafkan oleh saudaranya. Bila Allah Tuhan yang Menciptakan kita sedia memberi ampun untuk sebesar-besar kesalahan hamba, jadi siapa pula kita ini? Yang berkira-kira memaafkan saudara sendiri? Sedangkan selalunya rasa kecil hati itu datang dari kita yang emosi sendiri? Harusnya kita belajar sifat Allah Al-‘Afwu (Yang Maha Memberi Maaf). Kemaafan Allah ke atas kesalahan kita tidak pernah bersandarkan sedikit atau banyak amal kita. Manusia yang belajar dari Al-‘Afwu Allah, maka dia akan selalu memohon kemaafan Tuhannya, dan berbalik kepada dirinya menjadi seorang yang pemaaf pula. Allah membentuk rasa kita menjadi pemaaf menerusi perintahnya di dalam Al Quran yang bermaksud,

“Hendaklah mereka menghapuskan dan memaafkan, bukankah kamu menginginkan keampunan Allah kepadamu?”                       (An-Nur 24:22)

Teringat pula sembang saya dengan rakan yang lain tentang memberi maaf tanpa alasan ini. Saya cuba memberi contoh mudah begini, katakanlah markah penuh kemaafan itu 100%. Tapi yang kita mampu beri hanya 20% kerana mungkin kesalahan besar yang dilakukan oleh lawan kita. Tak mengapa, 20% pun sudah cukup, selebihnya 80% yang tinggal, bersangka baiklah sahaja. Jangan meletakkan sangka baik di hadapan maaf. Bukan apa, takut berbesen-besen sangka baik itu nanti hangus begitu sahaja bila lawan kita melakukan kesalahan yang lebih besar (pada pandangan kita sahaja mungkin).

Memberi maaf dan lepaskan pula maksudnya berilah maaf yang benar, kemudian jangan disimpan di dalam hati. Mungkin saya harus setuju dengan pepatah ‘Memaafkan bermaksud melupakan’ (Jujurnya, saya si penutur falsafah ini tak berapa setuju dengan pepatah itu. Saya lebih sukakan kata-kata ini ‘ memaafkan ialah menerima’. Saya silap lagi rupanya, memaafkan itu sepatutnya melupakan iaitu melupakan kesalahannya dan dalam masa yang sama menerima pula iaitu menerima sebab utama dia melakukan silap ialah kerana dia manusia!)

Sangka baik perlu selari dengan melepaskan. Logiklah, bagaimana mungkin kita bersangka baik sehingga sedasar-dasarnya kalau di dalam hati kita tidak melepas pergikan rasa sakit hati, dengki, benci, pendek kata semua rasa emosi yang memakan diri.

Tanya si kembar telah membuatkan saya berfikir semula. Ah, saya ini selalu lancang bercakap tentang hikmah di sana sini, tetapi bila berhadapan dengan rasa marah, langsung hilang semuanya. Astaghfirullah. Saya khilaf. Moga Allah memaafkan. Segala kata saya di sini, sekiranya tiada saya mengamalkan, maka inilah sumpahan. Saya kelak akan ditanyakan kembali tentang apa yang saya katakan, tetapi tidak pula saya melaksanakan. Saya bimbang aib yang besar di mashyar nanti. Nau’zubillah. Mohon Allah membentuk saya dan orang-orang yang saya kasihi keranaNya menjadi insan yang sangat pemaaf.

Kata Imam Al Qusyari, maaf itu seperti angin, menghilangkan bekas-bekas. Setuju. Berilah maaf seperti angin yang berhembus di bumi. Angin di suruh Allah menghilangkan debu-debu kotor lalu membawa benih-benih tumbuhan yang tersebar melaluinya bagi meninggalkan kesan damai yang baru. Belajarlah dari angin yang damai, bukan dari angin yang keras lagi panas. Memaafkanlah, kerana ia melunakkan rasa hamba.

“Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan atau menganiaya dirinya, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, tentu dia mendapati bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nisa 4:110)

Si Ranting yang Bercerita

Info Zooxanthellae

Zooxanthellae adalah nama yang diberi kepada gugusan alga dari genus Symbiodinium. Gugusan alga ini telah diciptakan sangat berbeza antara satu dengan lain. Atas nama hubungan yang saling bergantung dan menguntungkan, mereka telah Allah susunkan untuk tetap berkongsi bentuk sferikal yang sama bagi membolehkannya hidup di dalam karang bersama hidupan marin yang lain. Sebagai sel tumbuhan, zooxanthellae memerangkap cahaya matahari semasa proses fotosistesis. Sementelah hidup di atas terumbu karang, zooxanthellae disediakan ‘rumah yang selesa’ dengan perlindungan dan bekalan karbon dioksida yang dibebaskan oleh terumbu karang. Sebagai balasan pula, terumbu karang dibantu ‘bernafas’ dan diberi ‘makan’ oleh zooxanthellae dari produk fotosintesisnya.
Rupanya, selain sebagai pelengkap ekosistem marin, Allah menciptakan makhluk ajaib ini untuk menambah indah dasar lautan. Terumbu karang berwarna menakjubkan kerana adanya zooxanthellae yang hidup secara simbiosis pada karang. Oksigen yang dihasilkan daripada fotosistesis zooxanthellae dan rumpai laut menyumbang jasa yang besar untuk kemandirian darat.
Hari ini dasar laut tidak ceria lagi. Terumbu karang bersedih dengan luntur warna indahnya. Zooxanthellae semakin hilang dek tekanan seperti tumpahan minyak dan pemanasan global. Hubungan sejak 200 juta tahun yang lalu antara zooxanthellae dan karang telah dipaksa cerai oleh manusia yang tiada akal. Tidak mustahil suatu hari nanti, terumbu karang nan indah langsung pupus dari ekologinya lalu meninggalkan sumpahan zooxanthellae yang menakutkan buat kita semua!

Koleksi

Kalendar

Mei 2012
I S R K J S A
« Ogo    
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.